Daus duduk ketika melakukan kerja rakaman lagu
Daus duduk ketika melakukan kerja rakaman lagu

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Daus Eli, 34, mengambil pendekatan untuk berdakwah menerusi penghasilan karya seni muzik sendiri.

Kata bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu, dia sebenarnya sudah lama menghasilkan karya kerohanian pada masa lapang, namun belum mempunyai keyakinan diri untuk memperdengarkan kepada umum.

"Bagi saya, lagu kerohanian adalah salah satu genre lagu yang bagus kerana dapat menuntut anak-anak muda untuk sentiasa mengingati Sang Pencipta di kala susah dan senang.

"Dengan lirik lagu Kepadamu Ku Berserah yang tidak terlalu mendalam ini juga amat sesuai bagi golongan muda untuk memahaminya," ujarnya.

Pun begitu lagu itu dinyanyikan oleh pendatang baharu, iaitu Rahman Mann, dan berharap agar perkara ini tidak dijadikan isu andai ada komen mengatakan dia cuba menonjol menerusi belakang tabir.

"Saya percaya, banyak lagi bakat-bakat orang muda yang patut diketengahkan lagi pada era ini.

"Menjadi belakang tabir membuatkan saya lebih seronok sebab saya dapat memberikan ilmu tentang muzik sekali gus berdakwah melalui karya sendiri.

"Jadi, sekali-sekala apa salahnya saya melakukan dakwah melalui karya sendiri dan memberi peluang kepada golongan muda untuk menunjukkan bakat mereka," jelas Daus yang kini mahu dikenali sebagai penulis lirik lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 12:17 PM