PERCUBAAN pertama Shaffiq pada 2016, dengan lagu Jangan Kau Jauh. FOTO: Mahzir Mat Isa
PERCUBAAN pertama Shaffiq pada 2016, dengan lagu Jangan Kau Jauh. FOTO: Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

NAMA penyanyi Shaffiq Erwin mungkin masih baharu pada kalangan pendengar, tetapi cukup dikenali oleh sebilangan penyanyi tanah air.

Ia berikutan, pemuda yang kini muncul dengan lagu solo kedua berjudul Harapan ini adalah seorang guru vokal yang memiliki studio latihan sendiri.

Bernaung dengan Rusa Music, Shaffiq berkata, lagu Harapan ciptaan komposer Rudy Kasmaran dan lirik ditulis oleh Abu Out dilancarkannya pada 12 Mac lalu.

"Namun, lagu ini tidak berkesempatan membuat promosi awal kerana negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 ketika itu.

"Jadi, sekarang saya mula mengatur langkah untuk membuat promosi lagu ini meskipun masih berdepan kekangan yang terhad. Bagi saya, sangat sayang jika lagu Harapan ini tidak diketengahkan," katanya.

Mengulas lanjut lagu itu, Shaffiq berkata, ia karya lagu balada yang kena dan dekat dengan jiwanya. Ujarnya, lagu Harapan sarat dengan mesej positif untuk kehidupan.

"Apa yang pasti, bangkit dan 'move on' semula dalam kegagalan. Harapan takkan pernah lenyap dan kuncinya kita harus teruskan usaha, tidak kiralah jka gagal bercinta pun.

"Sebaik mendengar melodi lagu Harapan, saya sukakannya. Bagi saya, ia karya yang bagus untuk bakat nyanyian saya dipertaruhkan dan semoga lagu ini ada rezekinya.

"Saya akan cuba sedaya upaya mempromosi lagu Harapan kerana yakin dengan potensinya. Pada saya, setiap karya dihasilkan itu ada rezeki, sama ada cepat atau lambat," katanya.

Memaklumkan video muzik lagu Harapan sudah dimuat naik di YouTube, Shaffiq berkata, pendengar boleh membuat penilaian dan meninggalkan komen untuk diberi perhatian.

Shaffiq yang sudah menceburi kerjaya seni di belakang tabir sejak 2009 sebagai guru vokal berkata, pembabitannya mencuba nasib di pasaran muzik arus perdana bermula pada 2016.

"Saya ada menghasilkan satu lagu berjudul Jangan Kau Jauh pada tahun itu, sebagai dedikasi kepada diri sendiri selepas berjaya memiliki Ijazah Vokal dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Lagu berkenaan (Jangan Kau Jauh) hanya untuk simpanan peribadi. Tapi, saya dipujuk oleh rakan iaitu penyanyi Sissy Imann supaya melancarkannya untuk pasaran arus perdana.

"Termakan jugalah saya dengan pujukan Sissy dan buat keputusan melancarkannya beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak pada lagu itu dan saya. Namun, saya tidak kecewa," katanya.

Menurut Shaffiq, dia enggan meletak perasaan kecewa yang dalam pada dirinya. Katanya, ini kerana dia lebih suka positif dan teruskan berusaha sehingga berjaya kerana yakin peluang tetap ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 6:15 AM