JAWAB persoalan netizen  kemelut rumah tangga dilalui sehingga bercerai dalam lagu Takdir Kita.
JAWAB persoalan netizen kemelut rumah tangga dilalui sehingga bercerai dalam lagu Takdir Kita.
Sudirman Mohd Tahir


KEMELUT rumah tangga yang dilalui hingga berlakunya perceraian bersama isteri pada Februari tahun lalu membuatkan penyanyi, Daus Eli berasa kemurungan.

Ditambah pula apabila netizen tidak berhenti melemparkan pelbagai kata-kata nista, seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di sebalik kehidupan perkahwinan yang dibina sejak 2013.

Daus yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) berkata, disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan persepsi negatif segelintir pihak, dia pernah berasa seperti tak mahu lagi hidup di dunia ini.

"Saya tak minta pun semua ini terjadi pada diri. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Ketika saya berada dalam kemurungan, pernah terdetik dah tak nak hidup lagi.

"Tapi, saya bersyukur ada ibu bapa, adik beradik dan keluarga yang memberi sokongan. Malah, disebabkan semangat daripada mereka membuatkan saya bangkit semula untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik.

"Apatah lagi, minat saya dalam bidang muzik tak pernah lupus. Alhamdulillah, sekarang saya sudah 10 tahun dalam industri," katanya.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli kini muncul dengan lagu baharu, Takdir Kita.

Lagu terbitan syarikat rakaman Nova Music ini, dilancarkan pada 28 Ogos lalu yang juga karya hasil ciptaan sepenuhnya Daus.

Menurut Daus, lagu itu adalah luahan isi hatinya mengenai apa yang dilalui sepanjang hampir dua tahun bergelut dalam masalah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan.

"Lagu ini mengenai lelaki yang mengharapkan sesuatu daripada wanita yang pernah dicintai suatu ketika dahulu. Sebenarnya, lagu ini berkaitan dengan bekas isteri saya. Ia dibuat dua tahun lepas sebelum kami bercerai.

"Ketika itu saya sudah depresi, tak ada semangat dan kecewa. Jadi, saya buat lagu ini mengikut 'mood' ketika itu. Sewaktu melancarkan lagu ketiga saya, kami masih lagi bahagia.

"Cuma, dalam tempoh dua tahun itu sudah ada masalah sikit. Isu cerai tak habis lagi, netizen pula hentam kononnya saya ceraikan isteri semasa dalam pantang. Jadi berlakulah konflik."

"Lagu ini memang dibuat untuk dia. Tapi, jodoh kami tak panjang. Bagi saya, sekarang ini reda saja atas ketentuan Allah. Apa saja berlaku, janji saya tak lupa anak-anak. Pendek kata, lagu ini, luahan hati saya," katanya.

Menurut Daus, tahun ini dia kembali memeriahkan industri muzik tanah air. Walaupun perlu bersaing dengan penyanyi baharu dan jauh lebih muda, itu bukan penghalang buat dirinya.

"Sepanjang dua tahun lalu,saya menyepi dan fokus bisnes. Tapi, tahun ini saya bangkit dan sekarang bernaung di bawah Nova Music. Saya keluarkan lagu ini pun untuk anak-anak selain berniaga bagi menambah pendapatan.

"Saya sedar walaupun tak setanding dengan artis lain dari segi 'followers' di IG, tapi semangat tetap ada untuk memajukan diri dan takkan mengalah untuk terus terbabit dalam muzik. Lantaklah orang nak cakap apa. Paling penting saya sudah sampaikan mesej lagu ini.

"Harapan saya, semoga apa saja persoalan netizen yang tuduh saya macam-macam, semuanya terjawab dalam lagu ini. Inilah yang dirasakan sebenarnya. Memang saya mengaku ada salah dan dia pun ada salah. Tapi, saya tak nak aibkan mana-mana pihak. Lagu ini adalah luahan semata-mata," katanya.

Menariknya, lagu Takdir Kita dipilih menjadi lagu tema bagi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri dan bakal ditayangkan di slot Samarinda, TV3 tidak lama lagi.

Drama terbitan Tanah Beris Film Production itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nelydia Senrose, Nadia Brian, Atiq Azman dan Raja Afiq.

"Alhamdulillah, ini satu pencapaian tersendiri buat lagu baharu saya. Bukan mudah sebenarnya sesebuah lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama. Saya anggap ia rezeki dan promosi buat lagu ini.

"Diharap, lagu ini akan dapat pergi lebih jauh lagi. Sudah semestinya, saya juga meletakkan harapan untuk melihat lagu ini berjaya macam karya orang lain.

"Apabila drama ini ditayangkan kelak, penonton akan dapat mendengar dan menghayati bait-bait dan mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini," katanya.

Lirik video lagu Takdir Kita sudah boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Malah, lagu ini juga boleh distrim di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KK Box, YouTube Music dan iTunes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 6:15 AM