JAAFAR Onn. FOTO Genes Gulitah
JAAFAR Onn. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman

Petaling Jaya: Jaafar Onn, 72, menafikan dia hanya boleh berlakon watak lelaki lembut saja seperti dakwaan segelintir pihak.

Jaafar berkata, dia terkilan dengan sikap segelintir orang yang seperti hendak menjatuhkannya dan menabur pasir dalam periuk nasinya.

"Kadang-kadang orang kita juga yang menjatuhkan kita. Kata saya tak boleh itu, tak boleh ini. Jaafar Onn tak boleh berlakon. Jaafar Onn hanya boleh berlakon watak lembik saja dan tak boleh watak lain. Hanya itu saja boleh buat. Jadi saya rasa terkilan," katanya.

Berikutan itu, Jaafar kini mencari watak yang lebih mencabar dirinya dalam lakonan.

"Bagi apa watak pun saya terima. Sekarang saya sedang mencari watak seorang ayah yang dianiaya oleh anak-anak. Saya sedang cari siapa yang boleh tawarkan watak begini.

"Saya boleh menangis. Selama ini orang ingat saya hanya boleh bawa watak lembut. Ia suatu yang tak betul," katanya.

Bercerita mengenai keadaan kesihatannya, Jaafar berkata, dia hanya dirawat di hospital akinat masalah paru-paru berair dan kini kembali aktif bekerja.

"Saya boleh aktif kerana banyak makan suplemen. Tapi sebulan sekali saya kena jumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.

"Sebenarnya bacaan tekanan darah, paras gula dan kolesterol okey. Jadi saya tak perlu bimbang. Saya pun tiada sakit jantung, cuma kena hadkan minum air satu liter sehari.

"Sekarang saya menghiburkan peminat dan memasak di Plaza Masalam, Shah Alam. Memang agak terkejut kerana sejak kebelakangan ini ramai datang," katanya.

Menurutnya, sejak dia sakit dan pulih selepas itu, ramai yang mahu menonton persembahannya secara depan mata dan mahu memastikan dia sudah sihat sepenuhnya.

"Saya sebenarnya tengok keadaan juga untuk terima tawaran persembahan. Nak kata berehat pun, saya dah ada tawaran menyanyi dan berlakon selepas Aidilfitri nanti.

"Pada usia sekarang, kerjaya seni hanyalah sebagai hobi. Saya banyak buat kerja amal. Saya banyak terbabit dengan program anak-anak yatim. Apa yang dapat diberikan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 12:55 PM