Jaafar Onn.
Jaafar Onn.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Dia seorang yang prihatin dan pandai ambil hati. Setiapkali saya mesej kata-kata ucapan, dia balas terima kasih ikonku," kata Jaafar Onn berkongsi kenangannya dengan pengarah dan penerbit Allahyarham Mamat Khalid.

Menurut Jaafar, baru-baru ini Mamat juga ada mengundangnya sebagai tetamu untuk rakaman program masakan yang dihoskan oleh salah seorang anak arwah.

"Selepas itu saya hantar kek untuknya sebagai tanda terima kasih. Kali terakhir kami berhubung apabila dia hantar ucapan untuk harijadi saya pada 19 Oktober lalu.

"Terdahulu, Mamat juga ada tawarkan saya berlakon dalam filem 19 Puasa untuk musim yang akan datang.

"Dia minta saya lapangkan masa lebih kurang sebulan untuk 'shooting'. Katanya banyak permintaan peminat agar saya berlakon dan saya kata okey," katanya kepada Harian Metro.

Jaafar, 70, yang berlakon sebagai Tyson 2 yang juga syaitan dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berkata, isteri Mamat iaitu Hasmah Hassan pula menawarkan dia untuk berlakon sebuah drama Al Hikayat.

"Saya kata okeylah kalau sudi nak jemput saya. Pada saya tiada masalah untuk terima kerana ini rezeki saya," katanya.

Jaafar mengakui, pemergian Mamat sedikit sebanyak membuatkan dia berasa kehilangan kerana hubungan mereka yang rapat.

"Apa saja cerita, dia tawarkan saya berlakon tapi kadang-kadang jadual saya tak menentu. Dia memang terbaik. Kalau dia nak kaset atau cakera padat (CD) daripada saya, selalunya saya berikan saja tanpa caj apa-apa.

"Kita hargai dia. Maknanya dia suka apa yang kita ada. Saya pun lebih kurang dengan dia. Sehinggakan bila 'shooting' saya kata, Che Mat bagilah berapa pun saya tak kisah.

"Janji Che Mat setuju dan suka dengan apa yang saya buat. Tak kiralah berapa hari 'shooting'. Janji ada tempat tinggal dan makan.

"Saya kata tak kisah dan dia kata senanglah kerja dengan ikonku. Saya berharap anak-anaknya dapat teruskan apa yang ada," katanya.

Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12.30 tengah malam ini.

Arwah dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di kafe miliknya, Sarang Art Hub.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:36 PM