BERSAMA suami, A Rahman.
BERSAMA suami, A Rahman.
Ridzuan Abdul Rahman


Sering tampil dengan karakter ibu penyayang, manakala lakonannya menerusi drama bersiri Natasha ternyata melonjakkan populariti Fadilah Mansor di mata peminat.

Lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Chik, pelakon berasal dari Melaka berusia 58 tahun ini mengakui tidak pernah berehat kerana sering ditawarkan berlakon pelbagai drama.

"Saya aktif berlakon teater sekolah sejak menuntut di sekolah menengah di Melaka. Seterusnya saya memilih menjadi penari kebudayaan Melaka.

"Kemudian saya membabitkan diri dengan teater pula. Awal 1990-an saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlakon drama berjudul Sebuah Kampung Di Kaki Bukit arahan Johari Ibrahim.

"Bermula daripada situlah saya tak menoleh ke belakang apabila terus menerima pelbagai tawaran berlakon sehingga sekarang," katanya.

Kak Chik mengakui wajahnya yang lembut membuatkan dia sering ditawar membawakan watak ibu.

Bagaimanapun, dia pernah mencabar diri sendiri dengan melakonkan watak berbeza, namun terpaksa akur kurang diterima ramai.

"Saya pernah bawa watak garang dan antagonis tapi bilangannya boleh dikira dengan jari. Ternyata susah untuk tukar karakter kerana penerbit dan pengarah lihat saya sesuai bawa watak ibu.

"Sebagai pelakon, saya rela diberikan apa saja watak dan berusaha memberikan lakonan terbaik," katanya.

Ibu kepada Alia Farhani, 25, dan Faeesal Aswad, 23, ini berkata, dia gembira kerana suaminya, penyanyi Datuk A Rahman Hassan memberikan lampu hijau untuknya terus berlakon.

"Datuk juga ada dua anak yang dah dewasa dan kami sekarang hidup bahagia. Setakat ini tawaran berlakon tak putus-putus datang. Saya bersyukur kerana dapat suami yang memahami minat saya.

"Dia kenal saya pun daripada bidang lakonan, malah dia juga orang seni. Saya anggap berlakon sebagai peluang untuk jumpa kawan dan rasa kehilangan kalau tak berlakon.

"Cuma saya kenalah hadkan juga pembabitan dalam lakonan kerana perlu membahagikan masa untuk keluarga," katanya.

Menurut Kak Chik, dia masih didatangi dua atau tiga tawaran serentak tapi hanya memilih satu yang sesuai.

"Kalau dulu mungkinlah saya boleh terima tawaran begitu tapi kalau buat sekarang jawabnya terpaksa habiskan masa di lokasi dan tiada masa pula untuk suami.

"Biarpun sibuk berlakon saya tetap jaga kesihatan dengan mengambil makanan kesihatan tertentu bagi memberi tenaga," kata anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Kak Chik baru saja tamat penggambaran drama Muliakah Aku bersama Nonny Nadirah dan Beto Kusyairy.

Terbaru dia kini sibuk di lokasi penggambaran drama Mr Hijab yang turut menampilkan Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:01 AM