KHAIRUL bakal muncul dalam teater Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya. - FOTO Genes Gulitah
KHAIRUL bakal muncul dalam teater Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya. - FOTO Genes Gulitah
Oleh Syafil Syazwan Jefri


BERJAYA membuktikan kemampuan nyanyian di pentas All Together Now Malaysia (ATNM) sehingga meraih kemenangan baru-baru ini, membuatkan nama Khairul Nizam Idris mendapat perhatian ramai peminat muzik.

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dia adalah vokalis kumpulan Persis yang pernah tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-21 pada 2014.

Kini, Khairul bergerak secara solo dan mula berasakan tempias rezeki selepas kejayaannya bergelar juara program ATNM musim kedua itu.

"Selepas dua bulan selesai dengan ATNM, saya dapat rasakan impaknya antaranya, orang mula nampak dan kenal nama saya terutama di TikTok. Jadi, sedikit sebanyak ia membuka mata banyak pihak untuk melihat bakat saya," katanya.

Menurutnya, dia juga mula menerima tawaran persembahan dan merujuk kepada mereka yang berpengalaman dalam industri.

"Tawaran untuk persembahan pun mula ada. Saya banyak merujuk orang berpengalaman dalam industri antaranya, Diena bekas pengurus saya ketika bersama band Persis.

"Dia banyak membantu berkongsi ilmu dengan saya mengenai proses bagaimana untuk berurusan sekiranya ditawarkan persembahan dan sebagainya. Saya pun bergerak secara indie buat masa sekarang. Jadi, semuanya saya perlu uruskan sendiri di samping ada bantuan daripada kenalan," katanya.

Aktif sebagai penyanyi jalanan (busker), Khairul kini terpaksa berehat buat seketika atas beberapa isu yang timbul.

"Busking masih ada dalam jadual aktiviti kerja saya. Namun, ada beberapa sebab saya terpaksa rehatkan seketika antaranya berkaitan permit dan sebagainya. Jadi, kami menunggu untuk kelulusan permit daripada majlis bandar raya.

Terbaharu, Khairul bakal muncul dalam pementasan teater Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya yang dipentaskan pada 26 Mei depan di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

"Dalam teater Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya ini, saya diminta memegang watak sebagai penyanyi jalanan atau 'busker'. Jadi, saya juga menantikan jalan cerita dan watak untuk saya pegang ini.

"Ini bukan teater pertama kerana ketika bekerja di satu jabatan kebudayaan di Pulau Pinang dulu, saya selalu juga terbabit dalam pementasan teater," katanya.

Ditanya mengenai Persis dan kerjaya solonya, Khairul berkata, mereka akan hadir dengan buah tangan terbaharu.

"Persis masih ada, cuma kebanyakan anggota sudah beralih dan bermain untuk Alif Satar & The Locos. Tapi, baru-baru ini, kami ada berjumpa juga. Insya-Allah selepas Aidilfitri akan ada lagu baharu dari kami.

"Untuk lagu solo pula, saya dah siap rakamkan. Insya-Allah ia akan dilancarkan pada bulan depan berjudul Katakan Cinta. Selain itu, saya juga terbabit dalam projek untuk lagu tema baharu jenama Bulan Bintang bersama Audi Mok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 6:47 AM