NADIA Aqilah. FOTO Muhammad Sulaiman
NADIA Aqilah. FOTO Muhammad Sulaiman
Ardini Sophia Sina

Sejak bergelar isteri April lalu, Ramadan yang diraikan pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah Bajuri lebih bermakna tahun ini.

Walaupun sibuk dengan komitmen kerja, Nadia tetap meluangkan masa menyediakan hidangan sahur dan berbuka puasa buat suami.

Mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Saiful Ridzuan, pelakon berusia 33 tahun ini berkata, dia bertuah kerana mereka memilih untuk bersahur dengan menu yang sederhana.

Mereka juga sudah merancang perjalanan balik sempena Aidilfitri yang bakal diraikan pada pertengahan bulan depan.

“Dulu sahur dan berbuka puasa banyak dengan abang. Sekarang lain sikit sebab dengan suami. Kami lebih suka bersahur secara sederhana. Kadang-kadang saya hanya mengambil bijirin saja.

“Tahun ini sambutan Aidilfitri juga berbeza. Kami akan menyambut hari raya pertama di Kuala Lumpur iaitu sebelah suami saya dan kemudian barulah ke Batu Pahat,” katanya.

Bakat Nadia pernah diiktiraf menerusi Anugerah Seni Boh Cameronian apabila memenangi Persembahan Terbaik Watak Utama menerusi teater muzikal The Last Five Years dan Persembahan Terbaik Watak Pembantu bagi teater P Ramlee The Musical (musim ketiga) pada 2015.

Nadia berkata, pementasan umpama ‘rumah’nya kerana lebih kerap terbabit dengan teater berbanding drama TV.

“Jika diberi pilihan sama ada teater mahupun drama, saya tidak dapat pilih. Saya cuma mahu berlakon tidak kisah sama ada ia untuk pementasan teater atau drama televisyen.

“Bagaimanapun, saya lebih banyak terbabit dengan teater. Jadi, sebab itu saya rasa lebih selesa dengan teater. Buat masa ini, saya tidak ambil mana-mana tawaran drama kerana terikat dengan komitmen teater Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya,” katanya.

Mereka akan berlatih selama tiga minggu sebelum berehat bagi meraikan Aidilfitri. Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya bakal bermula pada 25 Jun depan di Johor Bahru.

Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya nyanyian pula, Nadia masih menerima jemputan bagi memeriahkan majlis tertutup dan berhasrat tampil dengan album.

Dia juga dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program pada tahun hadapan. Bagaimanapun, wanita itu masih belum cukup keyakinan untuk bergelar pengarah.

“Insya-Allah, ada rezeki saya mengimpikan untuk tampil dengan album sendiri. Saya juga akan mula menerbitkan program pada tahun hadapan. Tetapi untuk bergelar pengarah saya tidak yakin. Masih banyak yang perlu saya belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 4:23 AM