Syura. FOTO Instagram
Syura. FOTO Instagram
Ridzuan Abdul Rahman


PENERBIT teater Korupsi Dewan Semandung, Fauziah Ahmad Daud membuat kejutan apabila menggantikan pelakon teater berkenaan, Hanna Halim dengan penyanyi, Syura ketika hari pertama pementasan teater itu untuk media di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kelmarin.

Fauziah berkata, pihaknya mengambil Syura kerana dia boleh menyanyi dengan baik, manakala Hanna tidak ada bakat sebagai penyanyi.

“Saya tidak mahu membanding-bandingkan Syura dan Hanna. Apa yang boleh dikatakan bahawa tahap piawaian saya sukar untuk dicapai,” katanya.,

Kemunculan Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron menggantikan tempat Hanna dalam pementasan itu ternyata mengejutkan kerana watak terbabit sepatutnya dibawakan oleh Hanna.

Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Ogy berkata, dia amat berterima kasih kepada Syura yang menerima pelawaan syarikatnya, Ogy Ventures Network (OVN) pada saat-saat akhir.

“Dia datang dua hari dan hari ketiga terus hafal senaskah skrip. Itu memang anak seni yang bertanggungjawab. Sudah tentu pengalaman Syura di atas pentas lebih luas berbanding Hanna. Dia boleh menyanyi dengan baik, manakala Hanna memang tiada bakat dalam nyanyian.

“Mendapat Syura ibarat satu rahmat buat keluarga teater kami. Apapun kami hanya mahukan yang terbaik. Tidak elok untuk mengaib-aibkan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya Khir Rahman turut sependapat dengan Ogy dan menyifatkan kehadiran Syura menambah tenaga persembahan mereka.

“Ikutkan watak asal wanita tak perlu menyanyi, tapi Syura boleh menyanyi dengan baik dan terdetik di hati saya untuk tambah adakan nyanyian. Saya terpesona dengan nyanyiannya dan akhirnya bermacam-macam lagu timbul untuk cerita ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syura mengakui sangat berbesar hati diberi peluang terbabit dalam teater terbabit.

“Kalau diikutkan tanggungjawab saya agak besar untuk teater ini. Pada awal ditawarkan pun saya masih dalam keadaan 50/50 kerana saya tak pernah menyertai apa-apa teater sebelum ini. Saya tak menjawab sama ada ya atau tidak ketika ditawarkan terbabit. Keesokannya saya datang untuk cuba nasib dan alhamdulillah kak Ogy dan abang Khir tertarik ambil saya berlakon.

“Saya anggap ini rezeki pada saat akhir. Selain itu, bantuan pelakon-pelakon lain yang sedia ada juga berjaya memberikan keyakinan untuk berlakon dalam teater pertama ini,” katanya.

Korupsi Dewan Semandung turut dibintangi ramai pelawak popular seperti Joey Daud, Tauke, Mark Adam, Vicha, Man Raja Lawak, Tapai, Azmi Caliph Buskers, Douglas Lim, Chi Wan, Sharif Zero dan Azrul.

Naskhah teater ini turut diserikan dengan kemunculan istimewa Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pementasan teater ini bermula hari ini hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 12:20 PM