Barisan pelakon dan pengarah Cherok Tok Kun ke Putrajaya.
Barisan pelakon dan pengarah Cherok Tok Kun ke Putrajaya.
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Pengarah teater Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya, Hasrol Hisham Mohd Hassan menafikan bahawa teater ini, ada kaitan dengan kisah dan perjalanan hidup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasrol atau lebih dikenali sebagai Lanun berkata, dia mengangkat mesej antidadah di dalam teater yang akan dipentaskan pada 26 Mei ini.

"Betul, Perdana Menteri memang berasal dari Cherok Tok Kun dan sekarang di Putrajaya (Pejabat Perdana Menteri). Tapi, kisah dalam teater Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya ini buka berkisar mengenai beliau.

"Tema yang diangkat dalam karya ini adalah mengenai antidadah. Jadi, walaupun genrenya komedi seram, ada mesej yang diselitkan," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Lanun juga pernah mengarahkan teater dengan tema sama, namun dipentaskan di Pulau Pinang.

"Sebelum ini, pada 2019, kami pernah pentaskan teater Dari Cherok Tok Kun ke Gombak dan temanya masih lagi antidadah.

"Pada ketika itu, kami berjaya menarik 1,200 penonton. Jadi, kami harap, usaha kami membawa teater seterusnya ini ke Shah Alam, sambutan kali ini juga sama," katanya.

Hasrol Hisham Mohd Hassan atau Lanun. FOTO Genes Gulitah
Hasrol Hisham Mohd Hassan atau Lanun. FOTO Genes Gulitah

Teater Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya membariskan pelakon hebat antaranya Imuda, Abu Mamu, Caca Raja Lawak dan Kumpulan Kiut juara Gegarlawak musim pertama.

Selain itu, akan turut ditampilkan pelakon cameo antaranya Ella, Jo Branko (bekas gitaris Wings), Jojie (kakak Ella), Kapten Azhar (suami Ella) dan Chef Yang Jamil.

Ia akan dipentaskan di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:18 PM