TENAGA dipamerkan Shila tidak surut dari awal hingga hujung.
TENAGA dipamerkan Shila tidak surut dari awal hingga hujung.
Georgie Joseph


UMPAMA amaran bahawa kerjaya seninya tak mungkin akan bernoktah, Shila Amzah menghadiahkan konsert penuh warna-warni menerusi Shila Amzah: Journey To The Future di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 33, menjadikan konsert itu simbolik perjalanannya bergelar anak seni sejak kecil.

Dia 'melampiaskan' segala impian yang terbuku dalam diri dengan corak persembahan pelbagai penjuru.

Biar berganti imej dan status, lagaknya atas pentas serta-merta alami transformasi 360 darjah. 'Roh' sebagai penghibur merasuknya tanpa ada sekelumit rasa ragu-ragu kerana itu Shila yang dikenali cukup berani sejak dulu.

Dia tidak risau ada aspek tersasar pada setiap persembahannya. Yang dia pamerkan adalah keseronokan menakluk pentas dan memikat penonton sebaiknya dengan kelincahan mahupun vokal menyengatnya.

Bahkan, Shila sendiri mengakui takkan berhasrat mengecilkan bara dalam dirinya sebagai anak seni. Tidak terbit rasa puas pun dalam dirinya walaupun pelbagai pencapaian bersilih ganti diraih.

"Pada yang mengikuti kerjaya seni saya dari dulu pasti tahu saya tak pernah mengalah. Sejak kecil saya tak putus mencuba dan terus mencuba. Hingga sekarang, saya masih mencuba capai lebih tinggi.

"Perjalanan yang saya tempuhi tidak semuanya indah. Tapi, itu yang menjadikan kerjaya saya lebih besar maknanya dan membakar semangat untuk terus membuktikan sisi terbaik sebagai penghibur," katanya.

Diiringi pemuzik mantap, Shila tidak mensia-siakan setiap saat perjalanan konsertnya di hadapan lebih 2,000 penonton. Sejak lagu pembukaan hingga penutup, tenaga dipamerkan tidak surut sekalipun.

Lebih menarik, konsertnya bertembung hari sama dengan beberapa konsert lain termasuk BLACKPINK. Namun, peminat setianya tetap memilih untuk menyokong Shila, sekali gus membuktikan dia memang nama kukuh.

Namanya mungkin lebih terarah kepada arus perdana dan pasaran Melayu. Bagaimanapun, dia turut digilai peminat Cina yang turut membeli tiket menonton persembahannya ketika itu.

BERSUNGGUH pamer aksi memukau.
BERSUNGGUH pamer aksi memukau.

Mana tidaknya, penyanyi yang pernah gemilang melakar nama di China dan popular menerusi rancangan I Am Singer di negara itu bertaraf antarabangsa. Kebolehannya bertutur Mandarin dengan fasih adalah kelebihan terbesarnya.

Dibahagikan kepada beberapa segmen, Shila membuat percaturan bijak terhadap pemilihan lagunya. Enggan sekadar nyanyikan lagu sendiri, dia turut memberikan nafas baharu terhadap beberapa lagu lama dengan versi sendiri.

Antaranya menerusi lagu Tamparan Wanita nyanyian asal Elite yang mana digubah susunannya jadi lebih moden. Dibaluti busana merah jambu, Shila bagaikan bintang K-Pop dan turut mempamerkan kemahirannya menari.

Tidak ketinggalan, segmen lagu pelbagai bahasa dari Mandarin, Perancis, Sepanyol, Tagalog dan lain-lain turut memukau. Rangkaian lagu yang dipilih pun popular dan dikenali ramai.

Menjadikan malam itu lebih bermakna tentunya kehadiran keluarga tercinta sebagai penonton setia dan penyokong terbesarnya.

Bapanya juga penyanyi era 1980-an, ND Lala, ibu, Fauziah Sarman, adik, Syada Amzah dan lebih istimewa anaknya, Seth Uwais turut hadir.

Demikian juga sokongan rakan artis lain yang ternyata enggan terlepas peluang menyaksikan kehebatan konsertnya antaranya Jaclyn Victor, Fara Fauzana, Haziq Hussni dan Elly Ariffin.

Memanaskan lagi suasana adalah segmen penampilan artis jemputan iaitu band Sekumpulan Orang Gila (SOG). Mereka turut persembahkan lagu kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) iaitu Pelukan Angkasa.

Cukup menyentuh emosi apabila Shila menyanyikan lagu Memori Tercipta yang rata-rata digilai peminat. Ia bagaikan merasuk segenap penonton untuk sama-sama menyanyi serta mengimbas perjalanan seni Shila.

Konsert Shila Amzah: Journey To The Future dianjurkan IMC Live Global.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 6:15 AM