KONSERT stacy catat sejarah tersendiri apabila menjadi acara pertama yang boleh distrim menerusi YouTube rasmi DFP+.
KONSERT stacy catat sejarah tersendiri apabila menjadi acara pertama yang boleh distrim menerusi YouTube rasmi DFP+.
Georgie Joseph


CUKUP bermakna buat Stacy Anam, 33, apabila penampilan sulungnya mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, Kuala Lumpur, Sabtu lalu mencatat sejarah manis tersendiri.

Buat julung kalinya, konsert dinamakan DFP Presents: Stacy itu menjadi acara pertama yang boleh distrim menerusi YouTube rasmi DFP+.

Justeru, kegembiraan penyanyi itu lebih berganda dengan pencapaian terbabit.

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam menanti lebih sedekad beraksi di lokasi ikonik itu.

Apabila tawaran itu datang padanya beberapa bulan lalu, tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju.

Penyanyi kelahiran Penampang, Sabah itu mengakui dia memang tidak tidur lena menjelang hari konsertnya.

Malah, dia sanggup berlatih dalam gelap pada tengah malam bagi memastikan dia betul-betul bersedia.

"Dalam tempoh itu, saya cuma tidur-tidur ayam saja. Mana lagi nak uruskan anak-anak, latihan menari dan macam-macam, saya cuma ingin berikan yang terbaik untuk semua yang hadir.

STACY pamer stamina luar biasa.
STACY pamer stamina luar biasa.

TERHARU impian beraksi di DFP jadi kenyataan.
TERHARU impian beraksi di DFP jadi kenyataan.

"Selama 15 tahun berada dalam industri, peluang itu cukup besar maknanya dan amat saya nantikan sekian lama. Saya enggan sia-siakan dan kerana itulah persiapan saya lakukan dengan rapi sejak awal tahun lalu," katanya.

Stacy tidak nafikan memang banyak yang bermain di fikiran sepanjang tempoh persiapan. Mana tidak, dia sendiri tetapkan penanda aras cukup tinggi untuk persembahan itu.

Bagaimanapun, dia lega apabila segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Mengerah sendiri segala aspek perjalanan konsert itu, bagi Stacy pencapaian terbabit satu titik baharu dalam kariernya.

"Memang serba-serbi saya fikirkan sendiri ideanya kerana mahukan konsert itu benar-benar menggambarkan jenama Stacy. Baik pemilihan pemuzik, aspek teknikal, penari, susunan muzik, kreativiti, saya kerah otak sendiri.

"Melihat penerimaan penonton buat saya sangat terharu dan rasa berbaloi sangat usaha itu. Rasa macam satu permulaan dalam kerjaya seni ke depan saya pula bila dapat realisasikan impian ini," katanya.

Lebih mengagumkan, Stacy menjayakan konsert itu enam bulan selepas melahirkan anak lelakinya, Isa.

Bukan tugas mudah, namun penyanyi yang popular dengan lagu Pelangi Senja itu buktikan dia memang penghibur sejati.

Dihadiri lebih 800 penonton, keseluruhan konsert terbabit memang tampak megah. Sesuai dengan taraf DFP itu sendiri, pada masa sama Stacy memberikan perisanya tersendiri.

BERGANDING dengan suami, Akim Ahmad.
BERGANDING dengan suami, Akim Ahmad.

Konsert yang bermula jam 8.30 malam itu berlangsung dengan suasana santai dan sangat intim. Rata-rata yang hadir peminat tegarnya terutama kelab penyokong Sangat Gila Stacy (SGS).

Sorakan dan laungan suara penonton menyanyi bersama setiap lagunya menyemarakkan lagi tenaga penyanyi itu beraksi lincah di pentas. Tidak henti jeritan penonton menaikkan semangatnya.

Paling manis, suaminya juga penyanyi Akim Ahmad turut menjadi artis jemputan menjadikan ia lebih bermakna. Bahkan, dua anak mereka iaitu Bella dan Eshaal turut berada di kerusi penonton memberi sokongan.

Stacy berjaya mengubat rindu hadiri. dengan corak persembahan memukau seperti mana yang cukup diingati kerap dipamerkan. Digelar Ratu Tari, dia masih berbisa menyanyi dan menari dengan stamina luar biasa.

Pada malam itu, dia mempersembahkan 15 lagu keseluruhannya dengan pelbagai rentak. Ada segmen medley, duet bersama Akim, serta susunan muzik ala Broadway dan rock untuk beberapa lagu.

Lagu-lagu didendangkan adalah Pakai Buang, Kasanova, Jahat, Khayal, Pelangi Senja, Teriak, Menggegar Dunia; Aku, Kau, & Muzik, Bosan, Gagap, Not For Sale, Kisah Dongeng, Peluk, Aku Stacy dan Duit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 6:51 AM