SHILA mahu beri kelainan untuk setiap konsert yang bakal dijayakan di lima lokasi termasuk Indonesia dan Singapura.
SHILA mahu beri kelainan untuk setiap konsert yang bakal dijayakan di lima lokasi termasuk Indonesia dan Singapura.
Najiy Jefri


Selepas meraih tempat ketiga dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) tahun lalu, Shila Amzah mengumumkan akan mengadakan konsert jelajah yang diberi nama Journey To The Future: Shila Amzah bermula Mac depan.

Memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pembuka tirai, diikuti persembahan di Pulau Pinang, Sabah, Singapura dan Indonesia, Shila tidak menyangka apabila penganjur, IMC Group memberikan data peminat yang dimiliki di lokasi terpilih.

"Menariknya mengenai penganjur kali ini adalah mereka mempunyai keupayaan dan pasukan yang besar apabila mereka mengumpul data untuk mengenal pasti kedudukan dan lokasi peminat saya.

"Ketika mereka membentangkan kertas kerja ini, saya terkejut sebab semua lokasi sudah dipilih penganjur. Malah, untuk persembahan di Indonesia, pihak IMC Group turut memaklumkan bandar yang didiami peminat lagu-lagu saya.

"Saya melihat usaha keras dan komitmen yang mereka berikan dalam menjayakan konsert ini. Insya-Allah saya akan berikan persembahan terbaik di setiap lokasi terpilih," katanya.

Menyentuh mengenai persembahan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 4 Mac depan, Shila berkata, sebanyak 90 peratus lagu bahasa Melayu dipersembahkan pada konsert itu.

KONSERT jelajah Shila bakal gegar lima lokasi terpilih.
KONSERT jelajah Shila bakal gegar lima lokasi terpilih.

"Memori Tercipta tentu sekali lagu wajib yang bakal dibawakan. Ia ibarat lagu graduasi saya. Selain itu, saya akan menyanyikan lagu yang saya cipta untuk peminat pada 2015 berjudul Tulus serta Patah Seribu.

"Sebenarnya saya sudah mempunyai idea untuk setiap persembahan yang bakal dibawakan. Saya akan cuba tampilkan kelainan pada setiap lokasi persembahan supaya peminat dapat merasai pengalaman berbeza," katanya yang memiliki lagu bahasa Mandarin.

Apa yang menarik mengenai Journey to The Future ini ialah konsert jelajah itu bakal menampilkan penerbit, Lee Nai Kong selaku pengarah muzik yang akan menyelia susunan muzik dan hala tuju persembahan secara keseluruhan.

Peminat juga bakal dipersembahkan dengan pengalaman visual dan audio kelas dunia apabila Shila akan menyampaikan katalog lagu popularnya termasuk lagu antarabangsa kegemaran ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:20 AM