HAZAMA
HAZAMA
MOJO
MOJO
JOE Flizzow & SonaOne
JOE Flizzow & SonaOne
ALYAH
ALYAH
Oleh Michelle Gun

Biar hujan lebat melanda ibu kota kelmarin, namun tiada penonton yang berganjak untuk menyaksikan konsert mini finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 yang diadakan di pekarangan pusat beli-belah Nu Sentral.

Konsert yang bermula sekitar jam 3 petang itu menampilkan persembahan Amy Search, Alyah, Hazama, Indah Ruhaila, Joe Flizzow & SonaOne. Mereka menghiburkan penonton dengan lagu yang bakal mereka nyanyikan di pentas AJL29 di Stadium Putra Bukit Jalil pada 18 Januari depan.

Biarpun hujan lebat ketika giliran Amy Search menyanyi, pengunjung masih setia menunggu demi menyaksikan persembahan mantap rocker otai itu.

Amy yang juga mentor program realiti Mentor Legend mendendangkan lagu Aku Dah Bosan. Istimewanya, penyanyi itu turut berduet dengan protogenya, Sarah menerusi lagu Kerja Gila.

Sebelum itu, konsert membuka tirai dengan kemunculan Joe Flizzow bersama SonaOne menyampaikan lagu Apa Khabar diikuti Havoc. Seterusnya, penyampai radio Hot FM Fizi dan Haziq selaku pengacara memperkenalkan W.A.R.I.S kepada penonton untuk persembahan Gadis Jolobu.

Lagu itu dinyanyikan W.A.R.I.S tanpa Datuk Hattan yang tidak dapat hadir di konsert itu. Selepas W.A.R.I.S, pentas diserahkan kepada Hazama yang menghiburkan penonton dengan lagu Malaikat. Dia turut membuat penonton terpukau apabila menyanyikan lagu Relakan Jiwa.

Persembahan keempat menampilkan bekas finalis Akademi Fantasia 2013, Indah Ruhaila menerusi single Percayalah. Kali pertama menyertai AJL, Indah turut menyampaikan lagu Skyfall. Seterusnya, Alyah memukau penonton dengan lagu Tak Mungkin diikuti Kisah Hati.

Nu Sentral selaku penaja bersama AJL29 dipilih untuk melangsungkan konsert mini itu berikutan menjadi lokasi kunjungan ramai, selain sebagai hab pengangkutan awam.

Terdahulu sebelum konsert, AJL29 mengumumkan persembahan finalis mengikut turutan menerusi kaedah cabutan. Finalis pertama membuka tirai malam kemuncak AJL29 ialah Hazama The Penglipurlara diikuti Indah Ruhaila, Alyah, W.A.R.I.S dan Datuk Hattan, Mojo serta Bunkface dan Amy Search.

Hafiz Suip akan membuat kemunculan pada persembaham ketujuh diikuti Stacy, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan SonaOne, Najwa Mahiaddin dan The Palauans dan terakhir adalah Shila Amzah.

Sementara itu, ketika sidang media AJL29, Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, tema majlis penganugerahan berprestij kali ini adalah Gema Dalam Muzik.

"Alat muzik menjadi elemen utama di pentas AJL29. Malah, finalis bebas untuk menambah impak dalam persembahan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Sherina berkata, AJL29 bukan sahaja mengangkat penyanyi, tetapi turut menghargai jasa komposer dan penulis lirik. Juara AJL29 akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000 manakala naib juara menerima RM35,000. Pemenang tempat ketiga pula menerima sebanyak RM20,000. Pemenang kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik juga masing-masing mendapat RM12,000.

Persembahan finalis mengikut turutan:

1. Hazama The Penglipurlara-Malaikat

2. Indah Ruhaila-Percayalah

3. Alyah-Sesal Separuh Nyawa

4. W.A.R.I.S & Datuk Hattan-Gadis Jolobu

5. Mojo-Romancinta

6. Bunkface & Amy Search-Rentak Laguku

7. Hafiz Suip-Matahari

8. Stacy-Gilalah

9. Dayang Nurfaizah-Di Pintu Syurga

10. Joe Flizzow & SonaOne-Apa Khabar

11. Najwa Mahiaddin & The Palauans-Lelaki

12. Shila Amzah-Masih Aku Cinta

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:00 AM