APRENA Manrose bersama suaminya, Mohd Afiq Hazman
APRENA Manrose bersama suaminya, Mohd Afiq Hazman
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya : Pelakon, Aprena Manrose, 31, kini berada di dalam fasa reda dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata bersama suami, Mohd Afiq Hazman untuk rumah tangga yang mereka bina sejak 2016.

Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia bagaimanapun tidak pernah berputus asa dan yakin dengan ketentuan Allah.

"Saya dah lebih kepada reda dan pasrah. Tak ada pun tak mengapa. Bukanlah putus asa, tapi, mungkin Allah nak berikan anak kepada kami di akhirat sana," katanya.

Aprena yang sebelum ini pernah berehat hampir setahun dari dunia lakonan berkata, dia dan suami menggunakan tempoh itu sebaik mungkin untuk mencuba pelbagai rawatan kesuburan termasuklah rawatan Islam, Intrauterine insemination (IUI) dan In vitro fertilisation (IVF).

"Sepanjang tempoh itu, kami buat beberapa rawatan seperti rawatan Islam, IUI, IVF, tapi tak ada rezeki.

"Bila teruja untuk pergi buat pemeriksaan, doktor maklumkan keputusannya gagal. Saya dan suami pandang satu sama lain. Balik rumah, kami tutup telefon dan tidur. Mungkin kerana terlalu kecewa ketika itu," katanya.

Kini, sementara jadual kerjanya tidak terlalu padat, Aprena akan terus berusaha secara semula jadi.

"Allah berikan ikut apa yang kita mahukan juga. Sebelum ini, sejujurnya, memang tak ada cuti.

"Selepas bertudung, saya ada keinginan untuk lebih relaks sebab mungkin bila terlalu sibuk menyebabkan tak dapat hamil, tambah dengan hormon tak betul.

"Jadi, bila dah ada masa sekarang, Insya-Allah, kalau semua cara rawatan itu tak menjadi, kita boleh cuba cara semula jadi. Kita tak tahu, tapi Allah tahu bila masa yang sesuai," katanya.

Terbaharu, drama lakonannya berjudul Helo, Saya Anak Uncle! akan ditayangkan mula 17 Mac setiap Ahad di TV3.

Selain Aprena, drama itu juga dibintangi Izzue Islam, Zara Zya, Rania Amanda dan Raden Zaharatul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 1:32 PM