HUN Haqeem. FOTO arkib NSTP
HUN Haqeem. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


"Rasa tak boleh 'brain'." Itu kata-kata pelakon popular, Hun Haqeem ketika kali pertama berjumpa penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di lokasi penggambaran muzik video Siapa Tak Mahu.

Hun yang popular dengan watak Jakfer dalam drama Kampung People berkata, dia sangat bertuah dan bangga kerana diberi peluang muncul sebagai model dan pelakon dalam muzik video yang bakal dilancarkan secara rasmi itu esok.

"Sewaktu hari penggambaran saya cakap 'ya Allah ini betul-betul terjadi'. Saya baru sedar yang memang saya buat muzik video Tok Ti (Siti Nurhaliza). Dalam masa sama berasa seperti ditampar untuk sedar yang ia adalah realiti. Tapi, perasaan saya lebih kepada gembira, bangga dan bertuah sebab terbabit dalam muzik video ikon muzik tanah air sekali gus dalam kerjaya Tok Ti.

"Saya sangat menghormati Tok Ti. Berada sebahagian dalam kerjayanya sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak terkata dibuatnya," katanya.

HUN tampil sebagai pelakon dalam MV Siapa Tak Mahu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.
HUN tampil sebagai pelakon dalam MV Siapa Tak Mahu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain Hun, muzik video arahan Ghazi Maslan dari Ghz Studio itu turut menampilkan pelakon popular, Mira Filzah.

Muzik video Siapa Tak Mahu adalah terbitan Zeel Production dan dijalankan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada penghujung Julai yang lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebelum ni Zeel Production juga pernah beberapa kali menerbitkan muzik video, namun ini adalah pertama kali menerbitkan muzik video yang khusus dan mempunyai cerita serta konsep tersendiri. 

Difahamkan, penerbitan muzik video itu membabitkan 40 kru dan dijalankan selama sehari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. 

Menariknya, untuk muzik video kali ini, Siti tampil dengan lima watak berbeza dengan dalam lima busana berbeza.

Konsep untuk muzik video kali ini bertemakan 'whimsical' atau muzium misteri di mana Siti tampil memegang watak sebagai penjaga muzium ManifestaSITI dan akan berubah watak setiap kali memerhatikan gelagat pasangan kekasih, lakonan Hun dan Mira.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 5:40 PM