PU Syed
PU Syed
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Konflik antara pelakon Zarina Anjoulie dan bekas tunangnya, ahli korporat, Datuk Seri Khazrul Elzey belum menemui titik noktah.

Lebih memalukan apabila satu persatu perihal dalam kain 'ditelanjangkan' menerusi medium media sosial.

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed bersuara menyarankan agar kedua-dua individu terbabit berhenti membuka pekung di dada.

"Sudah cukup-cukuplah saling mendedahkan keaiban masing-masing. Cukuplah netizen dihidangkan dengan gaya haram pergaulan bebas kalian semasa seronok bercinta dulu.

"Kini janganlah netizen dihidangkan pula dengan rahsia-rahsia yang tak sudah-sudah didedah saban hari," katanya.

Biarpun tidak menyebut sebarang nama, namun teguran pendakwah itu jelas ditujukan kepada pasangan yang sedang rancak berbalah itu.

PU Syed terpanggil untuk membuka mulut rentetan Anju dan Khazrul masing-masing secara terang-terangan membuka aib sekali gus meraih perhatian warganet.

Terbaru, Khazrul mendedahkan dia tidak mengambil kesempatan demi memuaskan nafsu berhubung kunci rumahnya yang dimiliki Anju sebelum ini.

Menerusi perkongsian secara siaran langsung di laman TikTok, Khazul berkata, dia mengakui tidak gemar Anju kerap datang ke rumahnya kerana dilihat kurang manis serta boleh mengundang maksiat.

Menurut Khazrul, sebagai seorang yang memahami hukum agama, dia memilih untuk tidur berasingan demi mengawal nafsu serta memberi teladan yang baik kepada anak perempuannya, Julia Sharapova.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata netizen dilihat menyokong teguran PU Syed, malah ada yang meluahkan rasa kesal terhadap individu terbabit yang semakin menjadi-menjadi membuka aib masing-masing di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:28 PM