Zarina Anjoulie.
Zarina Anjoulie.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Anjoulie enggan tergesa-gesa fikir pasal kahwin sebaliknya mahu dia dan Datuk Seri Khazrul Elzey memperbaiki diri selepas kembali menjalin hubungan semula.

Zarina, 36, berkata dia memang ada niat berkahwin dengan Khazrul, 45, namun tetap percaya kepada ketentuan jodoh sama ada hubungan mereka berhasil atau tidak untuk melangkah ke fasa berkahwin.

"Sudah bertunang balik dan alhamdulillah 'happy'. Saya rasa sekitar bulan lepas. Dua-dua saling memujuk, mengalah, rindu. Kami dua-dua gila disebabkan itu boleh bergaul sangat baik.

"Anak dia sayang anak saya, begitu juga anak saya. Kami memang sudah cukup rapat. Malaslah lagi nak cari orang lain.

"Niat itu ada, tapi macam orang cakaplah jodoh itu di tangan Allah. Saya tak tahu. Mungkin akan menjadi, mungkin tidak. Apapun, pertama sekali kami masing-masing kena jadi lebih baik daripada kesilapan lalu," katanya.

Pelakon drama Jack Yusof terbabit juga akui dia mahu belajar daripada pengalaman lalu untuk perkukuh diri terlebih dulu jika ingin kembali mendirikan rumah tangga.

"Belajar untuk bersabar, tak ulang buat silap yang sama. Selepas itu baru bincang kahwinkah atau macam mana. Yang penting itu nak kukuhkan diri sendiri dulu, kukuhkan hubungan kami.

"Kami nak ambil pendekatan perlahan-lahan. Satu langkah pada satu masa. Mungkin sebelum ini terlalu tergesa-gesa. Tiga bulan terus kemaruk cinta. Muhasabah diri dululah kan," katanya.

Terdahulu, Zarina yang mesra disapa Anju seakan memberi bayangan mahu menjalinkan semula hubungan dengan bekas tunangnya itu. Menerusi hantaran video di Instagram, dia tidak tolak sekiranya ada jodoh dengan Khazrul.

Mereka pernah bertunang dan berkongsi di media sosial pada 22 Januari lalu.

Bagaimanapun ia tidak bertahan lama apabila Zarina mengumumkan putus tunang selepas dua minggu mengikat tali pertunangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 11:00 AM