Penyanyi, Naim Daniel membuat persembahan pada malam Anugerah Juara Lagu 37. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Naim Daniel membuat persembahan pada malam Anugerah Juara Lagu 37. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Idea dan konsep menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik datang daripada saya sendiri walaupun sedar risiko besar menanti."

Demikian kata penyanyi Naim Daniel yang melakukan persembahan secara tergantung dan terbalik pada Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.

Naim berkata, ketika lagu Mainan diumumkan layak ke pentas AJL37, dia bersama pasukan mengadakan mesyuarat untuk memilih tema dan konsep yang ingin dibawakan.

"Saya beritahu pasukan mengenai hasrat saya untuk menyanyi secara tergantung dan terbalik walaupun sedar risiko besar menanti saya.

"Namun selepas proses perbincangan dan yakin dengan idea ini akhirnya mereka bersetuju dengan konsep itu.

"Kemudian, saya bentangkan idea itu kepada pihak produksi TV3 sehingga mereka bertanya berkali-kali mengenai kesungguhan saya untuk melakukan persembahan dengan konsep berkenaan," katanya.

Menurut Naim, biarpun pada awalnya dia tidak begitu yakin dengan idea yang diketengahkan, namun selepas melakukannya berulang kali dia nekad untuk membawa kelainan.

"Saya mengadakan sesi latihan menyanyi dalam keadaan seperti itu lebih kurang tiga ke empat hari. Sebelum menjayakannya, saya mendapatkan pengawasan dan nasihat daripada pasukan saya, pihak produksi termasuk doktor.

"Saya akui, banyak perkara yang dipelajari dalam membawa usaha kelainan semasa menyanyi.

"Walaupun saya sedar persembahan seperti itu akan mengubah suara jadi sengau atau langsung tidak boleh menyanyi. Tapi, saya cuba sedaya upaya manfaatkan apa saja ilmu nyanyian yang dipelajari. Ketika aksi final saya cuba bertenang dan pastikan ia berada dalam keadaan terkawal," katanya.

Terdahulu Naim tampil dengan persembahan paling 'gila' apabila menyanyikan lagu ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga itu secara terbalik dan tergantung lebih daripada tiga minit.

Naim kali pertama muncul di AJL34 pada 2020 dengan lagu Sumpah ketika itu berdiri atas bola besar.

Menerusi AJL36, Naim memberi kelainan dengan duduk atas katil seperti pesakit jiwa yang juga terapung di udara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 11:52 AM