Naim Daniel pada majlis pelancaran Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 di Menara Kuala Lumpur. FOTO ROHANIS SHUKRI
Naim Daniel pada majlis pelancaran Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 di Menara Kuala Lumpur. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Janganlah terbalik. Kalau nak buat apa ke, itu atas risiko diri sendiri. Saya datang atas kapasiti persembahan profesional saja," kata penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 25, mengulas tindakan seorang pelanggan karaoke yang tular kerana cuba meniru aksi nyanyiannya di Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37), baru-baru ini.

Naim ketika ditemui berkata, dia sudah menonton video yang tular di TikTok itu dan menyeru orang ramai agar tidak meniru aksinya dengan sewenang-wenang tanpa mendapat pengawasan daripada pihak yang pakar.

"Saya membuat persembahan itu (tergantung dengan kepala ke bawah dan kaki di atas) dengan persediaan lengkap di mana ada pakar perubatan sudah disediakan di belakang pentas, tahap pernafasan saya juga diperiksa lebih dulu dan boleh dikata semuanya diatur rapi.

"Ia bukan benda yang boleh dipandang enteng macam itu saja. Umpamanya, kalau Naim boleh buat, aku pun boleh terbalik. Persediaan rapi dalam pelbagai aspek perlu ada, termasuk insurans diri," katanya kepada Harian Metro.

Aksi berani Naim ketika menyanyikan lagu Mainan di AJL37, baru-baru ini. Foto Instagram Naim Daniel
Aksi berani Naim ketika menyanyikan lagu Mainan di AJL37, baru-baru ini. Foto Instagram Naim Daniel

Sebelum itu, Naim hadir sebagai penyanyi jemputan dalam majlis Serlahan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) 2023 di Menara Kuala Lumpur, di sini.

Tampil menyanyikan dua lagu iaitu Sumpah dan Mainan, Naim berkata, dia memohon kepada orang ramai agar tidak meniru cara nyanyiannya di AJL37 itu kerana berkait rapat dengan faktor keselamatan diri.

"Sekali lagi, saya tidak menyeru semua untuk meniru sebarang aksi itu, serta pernah menghebahkan agar kita buat 'challenge' (cabaran) dan sebagainya. Apa yang dibuat itu (di AJL37), hanyalah satu inteprestasi atas persembahan saya.

"Tapi, apa yang mereka (orang ramai) cuba lakukan itu pula atas risiko dan pemerhatian 'content' sendiri. Sebabnya, saya pun dah tengok video di karaoke yang tular itu dan jujur diakui, rasa risau jugalah," katanya.

Dalam pada itu, Naim juga memaklumkan dirinya teruja untuk menunggu penghargaan daripada Malaysia Book of Records yang berminat memberi pengiktirafan kepadanya atas usaha berani dilakukan menerusi persembahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 1:10 PM