BERSYUKUR lakonan dalam Harum Malam menerima pujian daripada pelakon senior. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
BERSYUKUR lakonan dalam Harum Malam menerima pujian daripada pelakon senior. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Najiy Jefri


KEJAYAAN membintangi drama Mr Midnight: Beware The Monster yang ditayangkan di platform Netflix membuka banyak peluang kepada pelakon, Idan Aedan untuk melebarkan sayap ke luar negara.

Terbaharu, Idan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah menerima tawaran daripada dua produksi yang berpangkalan di Indonesia dan Australia.

Bagaimanapun, Idan tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai tawaran istimewa itu kerana masih dalam peringkat awal.

"Selepas bekerjasama dengan syarikat produksi Singapura menerusi drama Mr Midnight: Beware The Monster, saya menerima tawaran baharu dari syarikat produksi Indonesia dan Australia.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat berkongsi kepada umum kerana masih di peringkat perbincangan. Lagipun saya belum dapat skrip akhir daripada produksi.

"Sebagai pelakon beragama Islam, saya perlu memastikan setiap karya yang dibintangi tidak melanggar sensitiviti seperti membabitkan sentuhan fizikal.

"Saya percaya setiap pelakon ada alasan tertentu untuk setiap adegan yang tidak boleh dijayakan," katanya pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Harum Malam di Petaling Jaya.

Menyentuh mengenai lakonannya dalam filem arahan Dain Said itu, Idan tidak menyangka apabila lakonannya menerima pujian daripada pelakon senior.

Menurut Idan, pujian yang diberikan tidak membuatkan dia lalai atau hanyut sebaliknya menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

"Bila dengar maklum balas yang baik, saya sangat bersyukur. Tambah pula ini adalah filem seram saya yang pertama. Saya gembira apabila pujian itu datang daripada pelakon hebat seperti Bront Palarae.

IDAN tidak menyangka apabila menerima tawaran daripada syarikat produksi Indonesia dan Australia. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
IDAN tidak menyangka apabila menerima tawaran daripada syarikat produksi Indonesia dan Australia. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

"Saya banyak merujuk padanya dan selepas bekerja dengan dia menerusi filem ini, saya dapat tahu dia seorang yang menyeronokkan," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan Dain Said, Idan yang memegang watak utama sebagai Iqbal berkata, dia mula mengenali pe

ngarah tersohor itu menerusi filem Dukun.

"Sebelum ini saya hanya kenal wajah Dain Said saja. Itupun selepas menonton filem Dukun. Saya rasa cukup bertuah apabila dapat jadi sebahagian dari filem ini dan bekerjasama dengan pelakon terbaik.

"Saya harap peluang ini tidak terhenti di sini saja, sebaliknya saya ada banyak lagi watak baharu yang boleh saya lakukan untuk mencabar diri sebagai pelakon," katanya.

Selain Idan, Harum Malam turut dibintangi bintang popular seperti Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Joey Daud, Amanda Ang, Faizal Hussein dan Nabila Huda.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam bermula 9 Februari ini.

Filem seram terbitan kerjasama Apparat bersama D'Ayu Pictures dan Skop Productions berkisarkan mengenai pergelutan hidup Iqbal, lakonan Idan, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.

Keupayaan luar biasa itu membuatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman alam ghaib.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 6:21 AM