IQBAL lakonan Idan Aedan dilahirkan dengan anugerah iaitu boleh melihat makhluk ghaib dan berusaha untuk melindungi keluarganya daripada gangguan syaitan.
IQBAL lakonan Idan Aedan dilahirkan dengan anugerah iaitu boleh melihat makhluk ghaib dan berusaha untuk melindungi keluarganya daripada gangguan syaitan.
Najiy Jefri


BAGI penggemar filem yang mengekori rapat perjalanan seni pengarah tersohor, Dain Said pasti tertunggu-tunggu apakah karya terbaharu bakal dipertaruhka.

Siapa sangka selepas kejayaan filem Dukun, Dain sekali lagi tampil mencabar diri dengan filem seram bertajuk Harum Malam yang bakal menemui penonton di pawagam 9 Februari ini.

Sentuhan Dain dalam mencorakkan perjalanan setiap karyanya seperti Bunohan, Interchange dan Dukun sememangnya memiliki magis tersendiri sehingga kita sebagai penonton terkesima dengan apa yang dipersembahkan.

Berpeluang menyaksikan filem Harum Malam dibintangi pelakon hebat antaranya Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein, semuanya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Walaupun ada antara mereka hanya diberi watak kecil namun mereka berjaya menterjemahkan setiap karakterdengan baik dan berkesan.

Namun apa yang menarik perhatian penulis dalam filem Harum Malam ini pembabitan pelakon muda yang masih mentah namun berjaya menghidupkan karakter diberi dengan hebat.

Walaupun bergandingan dengan pelakon senior namun masing-masing tidak kekok dalam menjayakan watak.

Pelakon muda dimaksudkan ialah Idan Aedan dan Arnie Shasha yang memiliki sentuhan tersendiri dan jika bakat mereka terus digilap, dua bintang ini bakal menjadi pelapis pelakon filem yang berjaya.

Pengalaman di panggung cukup menyeramkan ketika menonton filem ini apabila ada banyak babak yang akan membuatkan anda terkejut dan sentiasa terfikir apakah punca di sebalik kejadian itu.

Namun sedikit mengecewakan kerana beberapa gangguan ketika tayangan yang mana ada 14 babak penting dikaburkan dan disenyapkan dialog bagi mendapatkan klasifikasi P13 oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Bagaimana sesebuah pengkarya itu mahu menghasilkan karya terbaik jika ada 'tangan-tangan' sanggup mencacatkan perjalanan sesebuah filem.

Penulis percaya setiap penggiat seni menghasilkan filem pasti memiliki pengalaman luas dalam bidang ini dan semestinya tahu mengenai selok-belok dan adab perlu dijaga.

Filem tempatan bukan sudah terang-terangan menempah tiket ke pasaran antarabangsa sehingga melanggar etika dan budaya tempatan, sebaliknya filem ini ditayangkan di Malaysia terlebih dahulu.

Jadi jangan 'mengongkong' sehingga menyekat seni orang lain. Banyak lagi 'kerja' perlu dipandang serius dan diselesaikan berbanding babak filem Harum Malam yang penulis kira tidak memberi kesan kepada mental masyarakat.

Disebabkan hal ini penulis ada ketika terpinga-pinga untuk memahami maksud ingin disampaikan kerana setiap dialog itu ada hubung kait pada penghujungnya.

Bagaimanapun penulis ingin mengucapkan tahniah kepada Dain kerana menghasilkan naskhah yang tidak syok sendiri, sebaliknya ada inti penting yang disampaikan kepada penonton.

Cuma terbit satu persoalan kecil apabila penggunaan ayat Al-Quran dalam mengubati seseorang yang dirasuk agak terhad apabila menggunakan surah sama berulang kali namun penulis percaya Dain ada alasan tersendiri.

Filem seram terbitan Apparat Sdn Bhd dengan kerjasama Skop Productions dan D'Ayu Pictures itu mengisahkan pergelutan hidup Iqbal (Idan) yang juga remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar.

Keupayaan luar biasa membuatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman alam ghaib.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:44 AM