IDAN Aedan teruja dapat berlakon drama Hawt Fellas arahan Eoon Shuhaini.
IDAN Aedan teruja dapat berlakon drama Hawt Fellas arahan Eoon Shuhaini.
Norhayati Nordin


PERNAH membintangi dua filem iaitu Anak Rimau The Movie dan Harum Malam, nama pelakon remaja dikenali Idan Aedan, 19, boleh dianggap sudah berada pada tahap tersendiri.

Ditambah, dengan peluangnya dipilih berlakon dalam siri Mr Midnight: Beware The Monster untuk siaran platform Netflix global pada tahun lalu, Idan Aedan pasti bukan bintang muda yang calang-calang.

Bersuanya baru-baru ini, Idan Aedan atau nama sebenar Muhammad Shahidan Abdullah mengakui dia teruja berlakon drama Hawt Fellas arahan Eoon Shuhaini untuk slot Lestary TV3 yang diterbitkan Country & Universal Sdn Bhd.

"Walaupun dalam filem, saya pernah beraksi di samping barisan pelakon nama besar tanah air seperti Bront Palarae, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa, namun ia bukan laluan mudah atau batu loncatan untuk saya mendapatkan tawaran berlakon drama televisyen.

"Ia agak sukar dan saingan juga sengit. Malah, ramai pelakon muda lain yang berbakat, termasuk mempunyai ramai pengikut di media sosial. Cuma, saya setakat ini masih tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai," katanya.

Menurutnya, namun dia tetap percaya kepada rezeki dan tidak akan cepat berasa kecewa atau putus asa. Katanya, dia akan terus berusaha gigih bagi mendapatkan tawaran berlakon.

"Rezeki Allah ini datang dalam banyak cara dan pelbagai. Jadi, saya ambil positif saja dan percaya rezeki itu tidak salah alamat. Jadi, peluang berlakon drama Hawt Fellas ini amat saya amat hargai dan berterima kasih kepada penerbit serta pengarah.

"Lagi pula, saya digandingkan dengan barisan pelakon muda tempatan lain yang berbakat dan sangat komited dengan kerja. Ini membuatkan saya sentiasa bersemangat memberi yang terbaik dalam lakonan.

"Selain itu, saya berminat sangat membintangi drama Hawt Fellas kerana tertarik dengan skripnya. Kisah dalam drama ini banyak mesej dan pengajaran dalam kehidupan. Harapan saya supaya drama ini diterima baik penonton nanti," katanya.

IDAN Aedan akur perlu gigih bersaing dengan pelakon muda lain.
IDAN Aedan akur perlu gigih bersaing dengan pelakon muda lain.

Selain Idan Aedan, pelakon lain yang berlakon dalam drama Hawt Fellas ialah Nabil Aqil, Atiq Azman, Raden Zaharatul, Tisya Ong, Izzul Faiq, Khaled, Amy Nur Tinie dan ramai lagi.

Ditanya juga strateginya untuk cuba menambah pengikut di media sosial, Idan Aedan berkata, dia selesa membuat perkongsian berkaitan karier dan hasil kerja seninya berbanding peribadi.

"Saya tahu kebanyakan pengguna media sosial lebih tertarik mengikuti artis kesukaan mereka dengan kisah berbaur peribadi seperti percintaan. Tapi, saya buat masa sekarang memang 'single' (solo) lagi.

"Usia pun masih belasan tahun dan saya nak fokus dulu pada karier. Ini kerana, saya ingin mempunyai kerjaya yang stabil dan dapat membalas jasa ibu bapa. Saya mahu pastikan keluarga hidup selesa," katanya.

Berbicara juga kerjasamanya dengan pelakon lain yang tidak jauh jarak usia, Idan Aedan mengakui seronok kerana mereka dapat menjalin hubungan persahabatan yang baik dan rapat antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:30 AM