Idan Aedan beramah mesra bersama pengunjung di KJH. FOTO Rohanis Shukri
Idan Aedan beramah mesra bersama pengunjung di KJH. FOTO Rohanis Shukri
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Biarpun dalam cuaca panas terik, namun kemunculan pelakon remaja, Idan Aedan di reruai Anugerah Bintang Popular BH (ABPPH) Ke-35, Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam tetap berjaya mencuri tumpuan pengunjung.

Teraju utama siri Netflix Mr Midnight: Beware The Monster itu meluangkan kira-kira setengah jam di reruai ABPBH 35.

Antara aktiviti dijalankan ialah permainan mencari barang dan kuiz sejarah penganjuran ABPBH. Pengunjung menyertai acara permainan menerima hadiah berupa barangan ABPBH.

Idan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah, 18, dicalonkan dalam dua kategori iaitu Aktor Filem Popular dan BBNU Lelaki Popular mengakui sangat teruja kerana ini adalah pengalaman pertama menyertai siri jelajah ABPBH.

"Saya seronok dapat meluangkan masa bersama peminat pada hari ini.

"Walaupun cuaca panas, saya tidak peduli asalkan dapat berjumpa secara berdepan dengan peminat.

"Sebelum ini, saya pernah terbabit mempromosikan drama dan projek lakonan, tetapi kali ini lebih istimewa kerana ABPBH adalah acara besar," katanya.

Idan Aedan menyertai permainan kerusi bersama pengunjung di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri
Idan Aedan menyertai permainan kerusi bersama pengunjung di reruai Jelajah ABPBH 35. FOTO Rohanis Shukri

Jelajah ABPBH 35 di KJH Selangor Generasi Muda di Shah Alam dijayakan calon awal ABPBH 35 iaitu merangkumi gandingan wajah lama dan baharu.

Pada hari kedua KJH Selangor Generasi Muda hari ini menyaksikan calon awal ABPBH 35 seperti Datuk Aaron Aziz, Haiza, Naufal Azrin, DJ Sonic, Idan Aedan, DD Chronicle dan Black Tik Tokers menggamatkan suasana apabila peminat tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan merakamkan foto bersama.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan barangan eksklusif ABPBH 35 seperti kemeja T, beg, payung, buku nota, pen, kipas tangan dan pelbagai barangan lain yang dijual dengan harga berpatutan.

Lebih menarik, jelajah ABPBH 35 di KJH Selangor Generasi Muda menawarkan tiket menyaksikan malam kemuncak ABPBH 35 yang akan disiarkan langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 21 Julai depan.

Pengunjung berpeluang memiliki dua tiket malam kemuncak ABPBH 35 dengan melanggan akhbar BH berharga RM125 untuk tempoh setahun.

Bagaimanapun, tiket ditawarkan terhad untuk karnival tiga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 4:40 PM