IDAN Aedan (kiri) bercinta dengan Arnie Shasha.
IDAN Aedan (kiri) bercinta dengan Arnie Shasha.
Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Pelakon muda, Idan Aedan, 19, mengakui dia rapat dengan pelakon dan atlet taekwondo, Arnie Shasha, 18, tetapi sebagai 'teman tapi mesra' sekali gus menjawab gosip yang mendakwa dirinya bercinta dengan gadis terbabit.

Idan atau nama sebenar, Muhammad Shahidan Abdullah, 19, berkata, dia memang berkawan rapat dengan Arnie sejak mereka berganding dalam filem Harum Malam arahan Dain Said pada 2020.

Arnie juga anak kepada penerbit filem itu.

"Kami memang sangat rapat kerana perlukan 'chemistry' (keserasian) untuk menjiwai watak dalam filem itu.

"Selepas habis penggambaran, kami terus berkawan sampai sekarang dan dia juga seorang yang cepat mesra. Ahli keluarganya juga sangat baik dengan saya," katanya.

Mengulas sama ada dia akan membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya, kata Idan, buat masa ini dia belum bersedia ke arah itu.

"Saya tidak melihat ia adalah perkara yang serius untuk beritahu bahawa saya sudah ada teman wanita dan sebagainya kerana ada orang akan beri komen yang positif dan negatif. Namun, apabila sampai masanya kelak, saya akan sedia berkongsi dengan semua.

"Saya juga tidak letak sasaran dari segi umur untuk ke fasa seterusnya lagi," katanya yang pernah juga digosipkan bercinta dengan pelakon Mia Sara Nasuha sebelum ini.

Sementara itu, kata Idan, dia juga pernah menerima gambar tidak senonoh daripada pengikut yang menghantar Direct Message (DM) di Instagram.

"Bukan saja peminat wanita yang DM, peminat lelaki pun ada yang mahu berkenalan. Saya terima jika ada yang ikhlas mahu berkawan. Malah, ada yang berani menghantar gambar tidak senonoh tetapi saya sudah block (sekat)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:10 PM