EBTG kembali rancakkan karier muzik bersama selepas lebih dua dekad.
EBTG kembali rancakkan karier muzik bersama selepas lebih dua dekad.
Georgie Joseph


PERNAH mencipta kegemilangan dalam industri muzik indie di United Kingdom (UK) pada era 1980-an, kumpulan Everything But The Girl (EBTG) nampaknya masih enggan beralah untuk kembali rancakkan karier seni mereka.

Dianggotai suami isteri, Ben Watt dan Tracey Thorn masing-masing berusia 61 tahun. Terbaharu mereka mengesahkan bakal lancarkan album studio pertama berjudul Fuse pada 21 April depan selepas lebih dua dekad.

Meskipun akur kemunculan kembali itu agak mengambil masa lama, namun mereka enggan dibelenggu rasa tertekan. Sebaliknya, mereka cuba bereksperimen dengan corak karya baharu tanpa terlalu serius.

"Ironinya keseluruhan bunyi hasil akhir album baharu itu adalah hal terakhir dalam fikiran kami ketika memulakan penghasilannya pada Mac 2021. Semestinya kami peka wujud tekanan selepas lama ditunggu untuk muncul kembali.

"Justeru,

kami cuba mulakan saja ia dengan berbekalkan semangat lebih berfikiran terbuka, main-main, tiada hala tuju yang tetap dan sedia terima sebarang hasil ciptaan," kata Tracey.

Pasangan terbabit menjalankan proses rakaman album terbabit secara diam-diam di rumah. Sebahagian daripadanya dibuat di sebuah studio kecil bersama rakan mereka juga jurutera muzik, Bruno Ellingham.

Pada dua bulan terawal, mereka cuba gunakan sebagai TREN nama artis untuk album terbabit. TREN adalah ringkasan gabungan nama mereka iaitu Tracey dan Ben.

Ketika itu mereka juga cuma fokuskan untuk hasilkan bunyi montaj dan alun piano yang diubah suai. Melodi itu adalah hasil ciptaan Watt menggunakan telefon pintar yang dihasilkan ketika berkurung kerana pandemik.

Kemudian idea terbabit berkembang sehingga terhasil kepada lagu penuh termasuk When You Mess Up dan Interior Space. Keyakinan mereka terus bercambah dan bertambah lagi lagu ditulis.

PASANGAN suami isteri, Watt dan Tracey punyai nama cukup besar dalam industri muzik indie UK.
PASANGAN suami isteri, Watt dan Tracey punyai nama cukup besar dalam industri muzik indie UK.

Antara lagu menyusul selepas itu adalah Nothing Left To Lose dan Caution To The Wind.

Menurut Watt, proses mencapai sepakat antara mereka berlangsung mudah hasilkan lagu-lagu itu.

"Ia sangat mengujakan. Sebuah dinamik terbentuk secara semula jadi. Kami borak singkat, bertukar pandangan dan kemudian menulisnya bersama dengan begitu tekun.

"Ia menjadi lebih daripada cantuman mengenai kami berdua semata-mata. Ia membentuk EBTG dengan cara tersendiri," katanya.

Album Fuse berkonsepkan muzik elektronik soul dengan suntikan moden sebagaimana genre yang mereka perjuangkan ketika aktif dalam industri sekitar 1990-an.

Single pertama selaku pembuka tirai untuk album memuatkan 10 lagu itu adalah Nothing Left To Lose. Ia disusuli dengan muzik video yang mendapat sentuhan pengarah Charlie Di Placido.

EBTG mula meledak di pasaran indie UK pada 1982 menerusi lagu nyanyian semula Night and Day versi jazz yang asalnya dinyanyikan Cole Porter. Kemudian mereka melancarkan beberapa album pada era itu.

Pada 1994, pasangan terbabit meraih pencapaian luar biasa selepas album Amplified Heart terjual jutaan unit. Ia memuatkan lagu hit Missing selepas adunan semula DJ serta penerbit dari New York, Todd Terry.

Selepas itu, mereka menyepi dari industri sebelum Thorn kembali lancarkan album solo bermula 2007. Manakala Watt ketika itu menjadi DJ antarabangsa dan juruadun muzik sebelum kembali menyanyi serta menulis lagu pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 6:06 AM