VELVET lega akhirnya dapat hasilkan album sulung.
VELVET lega akhirnya dapat hasilkan album sulung.
Georgie Joseph


LEBIH 16 tahun dalam industri muzik tempatan, impian penyanyi Velvet Aduk melancarkan album sulungnya menjadi kenyataan.

Berjudul Reality, album itu secara rasmi dilancarkan Ogos depan.

Semestinya satu kebanggaan buat penyanyi bersuara lunak itu kerana perjuangannya tidak pernah bernoktah. Ia sekali gus menjadi bukti bahawa kerjaya muziknya selama ini cukup serius.

Hakikatnya, mesej itu juga yang ingin Velvet sampaikan menerusi perit jerih penghasilan album terbabit. Dia melihat gerakannya sebagai penyanyi indie sebuah perjalanan yang sangat berliku.

Baginya, sebagai penyanyi indie, satu-satunya perkara yang dibawanya adalah semangat dan sokongan daripada setiap individu yang mendengar karyanya.

Justeru, dia rasa puas walaupun mengambil masa lama tampil dengan album sulung.

"Saya hanya mahu buat karya terbaik. Sebenarnya sering kali keterbatasan membuatkan saya hampir menyerah untuk melakukan apa yang saya suka.

"Album Reality asalnya adalah cerita perjalanan saya sebagai artis indie di Sabah. Saya masih selesa meneruskan aliran muzik ini walaupun memakan masa bertahun lamanya untuk mengeluarkan sebuah album," katanya.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi program Akademi Fantasia 4 (AF4) itu tidak pernah sunyi daripada tampil dengan lagu baharu.

Malah, dia konsisten berkarya baik untuk diri sendiri mahupun buat penyanyi lain.

Sehubungan itu, Velvet memutuskan untuk memuatkan kompilasi lagu sedia ada dan baharu dalam album Reality itu.

Ia termasuk lagu Mungkin Ini Bukan Sayang? yang baharu dilancarkan 17 Jun lalu.

"Reality adalah kompilasi lagu dan hasil karya yang saya hasilkan dan terbit dari 2019 hingga tahun ini.

"Dalam album itu, ada tiga lagu yang dikeluarkan pada tahun ini iaitu Mama dan Mungkin Ini Bukan Sayang? Manakala lagu baharu berjudul Celaru juga akan dilancarkan bulan depan," katanya.

BERAZAM terus membikin banyak lagu lagi.
BERAZAM terus membikin banyak lagu lagi.

Semestinya album pertama ini membuatkan Velvet amat teruja dan sangat gembira kerana lebih 16 tahun dia menanti. Dia menyifatkan rezeki memang tidak pernah salah alamat sekiranya usaha keras tetap berterusan.

Apa pun, penghasilan album itu baginya tidak akan berjaya tanpa bantuan banyak pihak. Dia berterima kasih kepada syarikat rakaman Bornaya Records milik Estranged yang membantu merealisasikan impian itu.

"Kerjasama daripada ramai pihak sangat perlu untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Saya amat bertuah dibantu pemuzik berbakat yang juga kawan-kawan rapat saya.

"Mereka sangat memahami, ringan tulang, membantu dan menyokong perjuangan seni saya. Saya pasti akan terus menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang kerana muzik adalah cara ekspresi yang amat saya minati," katanya.

Penghasilan Reality ditulis, diterbit dan disusun sepenuhnya Velvet. Reality memaparkan keperibadian dan kehidupan peribadinya di mana setiap lagu mempunyai cerita dan kisahnya tersendiri.

"Album ini sangat besar maknanya buat saya kerana menjadi simbol usaha bertahun lamanya yang penuh pelbagai cabaran sebagai anak seni.

"Saya harap ia akan menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 6:20 AM