LOKO mahu terus diterima.
LOKO mahu terus diterima.
Najiy Jefri


DIANGGOTAI empat anak muda berjiwa seni, Loko antara band yang mula diberi perhatian dalam arena indie tempatan.

Mereka yang ditubuhkan pada 2016 itu juga rancak menyusun langkah untuk bergerak ke depan dan tampil dengan album pertama berjudul Mata Kaca yang memuatkan enam lagu.

Mempertaruhkan muzik alternatif indie rock, Loko yang dianggotai Ashraf (penyanyi, gitar), Alif (gitar), Aiman Amin (bass) dan Nik Aqil (dram) berharap kehadiran mereka memberi nafas baru dalam industri muzik tempatan.

Nik berkata, ketika mengeluarkan single pertama berjudul Pujaan Hati, mereka tidak menyangka menerima sambutan yang baik daripada pendengar terutama kelompok peminat indie.

“Ketika single pertama kami berjudul Pujaan Hati dirakam, kami akui tidak boleh duduk diam sebaliknya perlu bergerak dan menghasilkan muzik video.

“Lagipun kami percaya muzik video boleh mewakili sebuah band yang berkarya. Namun, disebabkan kekangan kewangan ketika itu kerana masing-masing masih belajar, kami ambil keputusan untuk menghasilkan muzik video sendiri .

“Kami tak sangka ketika muzik video Pujaan Hati dilancarkan di YouTube, ia menerima sambutan baik dan kini sudah mencecah hampir 500,000 tontonan.

“Ia satu pencapaian yang kami tak jangka dan bersyukur dengan impak yang diterima,” katanya.

Walaupun mereka kini makin dikenali dan mula mengumpul peminat dalam arena indie tempatan, tetapi Loko enggan mendabik dada, sebaliknya mengakui masih hijau dalam kelompok pergerakan indie.

“Kami boleh dianggap masih hijau walaupun hubungan kami sudah lama dan hampir dua tahun berada dalam industri muzik. Persembahan sulung kami hanya pada 2017,” katanya.

Siapa sangka, demi kecintaan dan semangat untuk mendapatkan hasil terbaik, semua anggota Loko ini berkongsi wang poket sendiri untuk menghasilkan lagu.

Ashraf berkata, sekiranya diberi ruang dan peluang untuk menembusi pasaran muzik arus perdana, mereka cuba memberikan hidangan sebaik mungkin kepada peminat dan pendengar.

“Buat masa ini, kami mungkin dikenali dalam kelompok indie saja, tapi andai diberi peluang kami terbuka hati untuk mencuba nasib dan mencabar diri kami untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

“Kami nak kongsikan muzik yang kami ada kepada peminat baru kerana setiap lagu yang kami perkenalkan mempunyai mesej yang tersirat dan positif,” katanya.

Sebagai penyanyi, Ashraf berharap kehadiran mereka akan terus diterima dan lagu mereka mendapat tempat di hati semua.

“Di sebalik cabaran yang harus dipikul dalam industri muzik, kami juga lalui banyak kenangan indah apabila berjumpa dengan orang-orang hebat dalam muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:00 AM