YUSOF (depan, dua kiri) bersama barisan pelakon ketika sidang media Malam Gala Filem Harum Malam di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
YUSOF (depan, dua kiri) bersama barisan pelakon ketika sidang media Malam Gala Filem Harum Malam di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Najiy Jefri

Petaling Jaya: Datuk Yusof Haslam kesal dengan tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) apabila beberapa babak dalam filem terbitannya, Harum Malam terpaksa dikaburkan dan disenyapkan dialog bagi mendapatkan klasifikasi P13.

Yusof berkata, LPF sepatutnya lebih bersikap terbuka dan tidak berada pada tahap pemikiran lama.

"Saya kesal kerana banyak dialog-dialog yang tidak semestinya melalui proses tapisan. Namun, saya berharap pada masa mendatang LPF akan lebih bersikap terbuka.

"Kalau kita tengok dalam platform penstriman seperti Netflix semuanya terbuka, jadi kenapa nak bodohkan penonton. Ini adalah kritikan terbuka saya kepada LPF.

"Sebenarnya kita perlu ada perubahan, jika tidak kita akan 'stagnant' (tidak berubah). Sebelum ini pun saya pernah suarakan kepada LPF dan harapnya orang-orang yang duduk di LPF buka minda.

"Kenapa perlu kita sempitkan pemikiran. Saya harap LPF jangan berada dalam pemikiran lama. Ini bukan tahun 1960-an atau 1970-an, sebaliknya kita sudah jauh ke depan serta sudah memasuki ke era digital," katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Filem Harum Malam, di sini, semalam.

Sementara itu, pengarah Harum Malam, Dain Said menegaskan 14 babak yang terpaksa dikaburkan dan disenyapkan dialog mempunyai kaitan dan saling berkait rapat dengan kehidupan semasa.

"Saya bukan nak cakap keras (lantang) tetapi bila kita bercakap soal penapisan, sudah tentu kami sebagai penggiat filem bertanggungjawab terhadap setiap karya yang dihasilkan.

"Kami bukan suka-suka nak buat sesuatu yang memberi nilai kejutan. Kalau dengar dialog-dialog ini semuanya berkait rapat dengan kehidupan hari ini serta perjalanan filem itu sehingga ke pengakhirannya," katanya.

Harum Malam dibintangi barisan pelakon handalan antaranya Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud and Faizal Hussein.

Filem ini turut mengetengahkan pelakon muda Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Filem terbitan syarikat produksi Apparat ini turut bekerjasama dengan D'Ayu Pictures serta Skop Productions.

Filem seram ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 9 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 3:16 PM