MAMAT Khalid. FOTO arkib NSTP
MAMAT Khalid. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pengarah popular, Mamat Khalid lega apabila filem terbarunya, Lebuhraya Ke Neraka bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Mamat berkata, sebelum menghasilkan filem bergenre ketuhanan dan dakwah itu, dia sudah meminta pandangan daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

“Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama yang baik daripada LPF. Bagaimanapun, ada dua dialog yang menyentuh sensitiviti agama disenyapkan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem berkenaan di sini, hari ini.

Filem terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution itu menampilkan lakonan Awie, Khir Rahman, Dazrin Kamarudin, Shah Jaszle, Miera Leyana dan Fatin Syahirah.

Ia mula ditayangkan di seluruh negara mulai 4 Mei ini.

Mamat berkata, impiannya untuk mengarah filem genre ketuhanan dan dakwah juga sudah tercapai.

Menurutnya, dia sudah menunggu lama untuk menghasilkan filem serius dan lari dari genre komedi yang biasa dihasilkan sebelum ini.

"Walaupun filem ini dihasilkan enam tahun lalu tetapi ia menampilkan idea segar dan ada kelainan untuk disajikan kepada penggemar filem tempatan.

"Saya harap filem ini akan mendapat sambutan dan memberi kesedaran kepada penonton nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 8:29 PM