MENAMPILKAN realiti dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
MENAMPILKAN realiti dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Syafil Syazwan Jefri

Tak kurang hebat!

Itu yang mampu saya ungkapkan selepas menonton filem terbaharu yang juga menjadi 'first baby' pengarah dan pelakon, Steve Yap berjudul Adoiii Jiwaku.

Pada awalnya, saya meletakkan harapan tidak terlalu tinggi untuk jalan ceritanya memandangkan ramai pelakon muka baharu. Namun, andaian awal saya meleset.

Adoiii Jiwaku mengangkat tema kenegaraan dengan memaparkan keharmonian pelbagai kaum melalui cara berbeza dan tidak klise.

Jika sebelum ini, kita banyak menonton filem kenegaraan atau bersifat patriotik dengan cara yang agak berat, kali ini saya sebagai penonton terhibur dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam Adoiii Jiwaku.

Secara ringkasnya, Adoiii Jiwaku mengisahkan mengenai tiga individu berlainan kaum, Ayis (Melayu), Sia (Cina) dan Malesh (India) yang bekerja di sebuah hotel.

Ayis dan Sia terkena renjatan elektrik dan tertukar jiwa dalam badan masing-masing.

Mereka yang pada awalnya saling salah faham kerana ada ideologi masing-masing berkaitan perkauman, terpaksa bersatu untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

FILEM yang tidak klise.
FILEM yang tidak klise.

Sia yang terperangkap dalam badan Ayis terpaksa pulang ke rumah keluarganya, manakala Ayis yang terperangkap dalam badan Sia pula terpaksa pulang ke rumahnya.

Mereka perlu menjalani kehidupan sementara mengikut cara yang bukan kebiasaan. Dari situ, mereka mula faham mengenai budaya kaum berbeza.

Maka, bermula perjalanan kisah cerita mereka yang turut disertai Malesh yang menjadi orang tengah untuk membantu menyelesaikan masalah.

Jalan ceritanya mudah difahami dan jelas. Semuanya tersusun rapi tanpa sebarang kekeliruan. Contohnya, mungkin ada yang akan tertanya-tanya kenapa Ayis lakonan Ali Arami boleh memahami bahasa Mandarin?

Namun, di peringkat awal sudah ada babak yang menjelaskan bahawa Ayis pernah bersekolah di sekolah Cina.

MENGGUNAKAN dialog-dialog yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian.
MENGGUNAKAN dialog-dialog yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya adalah penggunaan bahasa pasar yang dekat dengan penonton. Ia umpama satu filem yang memaparkan kisah harian masyarakat.

Persepsi masyarakat terhadap kaum berbeza juga diangkat dan disumbatkan dalam filem ini. Jadi, jangan terkejut k

alau anda mendengar dialog 'Cina babi!' atau 'Melayu makan rasuah!' dan 'Keling!'.

Semuanya perkataan sensitif, namun ada penjelasan tersendiri yang menenangkan semula setiap hati penonton yang menonton.

Tidak hanya memaparkan drama, Adoiii Jiwaku juga menyelitkan sedikit elemen komedi dan ada babak yang bermain dengan emosi.

Sesuai dengan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, saya rasa filem ini amat sesuai untuk ditonton oleh pelbagai kaum.

FILEM: Adoiii Jiwaku

PENGARAH: Steve Yap

PENULIS SKRIP: Chan Mae Si

PELAKON: Steve Yap, Ali Arami, E Ramanamohan, Allahyarham Adibah Noor, Amber Chia, Pablo Amirul, Anuar Abdul Hamid, Jack Lim, Chan Fong, Mark O'dea dan Dennis Lau

TERBITAN: Lomo Pictures Sdn Bhd

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:30 AM