Didie Alias
Didie Alias
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Selama ini saya tengok video kematian orang lain akibat Covid-19. Tak sangka, kini ia berlaku kepada keluarga saya," kata Didie Alias yang kehilangan sepupu rapatnya baru-baru ini.

  Pelakon, pelawak dan pengacara popular ini berkata, dia sudah kehilangan lima ahli keluarganya akibat Covid-19 dan ia sangat meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

   "Mula-mula sekali meninggal dunia ialah ibu saudara iaitu adik bongsu sebelah emak saya. Ia kemudian, diikuti nenek saudara, bekas abang ipar dan dua sepupu yang membesar bersama-sama saya. 

   "Memang 'down' rasanya apabila melihat jenazah mereka yang sudah siap dikapan menerusi kiriman video keluarga. Malah, saya juga dapat tengok video terakhir sepupu ketika doktor buat panggilan untuk arwah bercakap dengan emaknya sebelum ditidurkan.

   "Emaknya turut ajarkan arwah mengucap, ampunkan dosanya dan halalkan susu dan pelbagai lagi. Tak sampai dua jam, kami dapat berita dia dah tiada. Memang sedih sangat," katanya kepada Harian Metro. 

   Didie, 49, atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali berkata, sepupunya yang juga anak bongsu itu sangat rapat dengannya.

   "Emak arwah ialah adik emak saya. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa kenduri tahun lalu yang biasanya pada ketika itu, kita dapat jumpa saudara mara. 

   "Saya pun dah lama juga tak balik kampung di Melaka untuk jenguk emak yang kini tinggal bersama adik. Risau juga apabila dengar ada kes Covid -19 di kalangan pekerja penternakan ayam di sana.  Tapi, saya selalu pesan pada mereka agar berhati-hati, jangan keluar dan sentiasa jaga kebersihan," katanya. 

   Biarpun berasa takut, Didie mengakui dia masih tetap perlu keluar rumah untuk menyambung aktiviti penggambaran drama lakonannya yang tertangguh sebelum ini.

   "Perasaan trauma itu dah tentu ada. Nak keluar rumah pun memang rasa risau walaupun cuma pergi ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan dapur, termasuk selesaikan urusan penting.

   "Aktiviti penggambaran pula akan disambung semula tak lama lagi apabila dibenarkan. Jadi, saya kena sentiasa berhati-hati dengan virus pembunuh ini. Malah, anak-anak dan cucu saya juga tidak dibenarkan keluar rumah. 

   "Apapun, saya lega kerana anak yang belajar di universiti sekarang hanya belajar dari rumah. Cuma, ada seorang anak saya kena bekerja di luar. Apabila dia balik rumah, saya suruh mandi bersihkan diri segera," katanya akan menyambung penggambaran drama Cukup Derita Itu selepas ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 10:17 PM