ISSAM tambat hati peminat seluruh dunia dengan lagu Hadal Ahbek.
ISSAM tambat hati peminat seluruh dunia dengan lagu Hadal Ahbek.
Sudirman Mohd Tahir


HANYA kerana sepotong lirik 'Raparaparapa', remaja kelahiran Jordan, Issam Alnajjar berjaya mencipta sensasi muziknya di seluruh dunia sehingga muncul lagu berbahasa Arab pertama mencatat populariti di peringkat global.

Lagu ciptaan sepenuhnya penyanyi berusia 17 tahun itu, berjudul Hadal Ahbek yang membawa maksud Aku Akan Terus Mencintaimu menjadi tular selepas dia memuat naik sepotong video 'teaser' lagu berkenaan di akaun Instagram miliknya pada September tahun lalu.

Sejak itu, Hadal Ahbek mula menambat hati peminat seluruh dunia dan seakan melekat di kepala mereka yang mendengarnya.

Biarpun didendangkan sepenuhnya dalam bahasa Arab, namun ia bukan masalah besar untuk lagu itu diterima. Bahkan Issam berjaya membuktikan muzik boleh dinikmati tanpa sempadan.

Ia turut dibuktikan menerusi kejayaan lagu itu mendaki carta teratas lagu di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Malaysia dan India.

Malah, lagu itu juga mengatasi penyanyi popular antarabangsa, apabila Hadal Ahbek mendapat perkongsian lebih tinggi berbanding lagu nyanyian Justin Bieber mahupun The Weeknd.

Walaupun hanya mempunyai 122,000 pengikut di Instagram, tetapi Issam mempunyai jumlah pengikut yang ramai di akaun Tik Tok dengan lebih 813,000 pengikut dan mendapat lebih lapan juta tanda suka.

Disebabkan sensasi lagu Hadal Ahbek, lebih daripada 91,000 video dijadikan lagu latar pengguna Tik Tok dan ditonton lebih 45 juta pengguna.

Di Malaysia sendiri, lagu Issam juga tidak kurang sensasinya. Populariti lagu Hadal Ahbek di sini bermula daripada aplikasi TikTok. Malah, negara kita adalah negara ketiga mencatat penstriman terbanyak selepas Indonesia.

ISSAM mencuri perhatian peminat sehingga menjadi tular.
ISSAM mencuri perhatian peminat sehingga menjadi tular.

Selain itu, Malaysia turut muncul sebagai negara keenam terbanyak menonton video nyanyian remaja itu di YouTube sehingga muncul 'trending'. Muzik video persembahannya secara 'live' yang dimuat naik sendiri penyanyi itu di saluran YouTube sudah mencecah 52 juta tontonan dalam tempoh lima bulan.

"Saya masih cuba menghadam semua ini, otak saya masih memproses 'kegilaan' ini," kata Issam.

Menurut penyanyi yang menjadikan artis pop seperti Shawn Mendes dan Ed Sheeran sebagai inspirasi dalam menulis lagu serta mengagumi kreativiti artis ikonik seperti Queen dan The Weeknd, dia sejujurnya menjangkakan lagunya hanya mendapat 10,000 tontonan.

Namun siapa sangka dalam seminggu, lagu itu mencatat lebih 100,000

tontonan. Sementara di aplikasi muzik Spotify, Apple Music dan Deezer, lagu Hadal Ahbek turut distrim paling banyak.

"Saya menggunakan aplikasi FaceTime bersama seorang wanita, perkara pertama yang muncul dalam fikiran saya pada ketika itu hateh rassik aal mkhadeh (letakkan kepala mu di bantal ku)," kongsi Issam bagaimana tercetusnya idea lagu sensasi itu.

Bagi remaja ini, muzik bukan sekadar kerjaya, tetapi lebih kepada cara hidup. Katanya, muzik bagaikan sebuah 'escapism' yang dapat membantunya memproses dalam berhadapan tekanan serta cabaran hidup sehari-hari, lebih-lebih lagi apabila terpaksa tinggal bersendirian sejak empat tahun lalu selepas kedua-dua ibu bapanya mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat.

Issam juga sentiasa berasakan dirinya dilahirkan untuk menghasilkan muzik, malah dia mempunyai keyakinan diri amat tinggi dapat menghasilkan sesuatu yang dapat meninggalkan memori bukan saja buat dirinya, tetapi juga kepada semua orang.

"Saya remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Jordan, saya berjaya menghasilkan lagu yang menjadi trending di seluruh dunia. Dari itu, saya yakin apa saja tidak mustahil dapat dicapai jika kita memiliki cita-cita," katanya yang mempunyai lebih dari 600,000 pelanggan di saluran YouTube.

Bagaimanapun, remaja itu hanya memuat naik empat lagu di saluran YouTube miliknya, dua daripadanya adalah lagu original. Selain Hadal Ahbek, dia juga mempunyai sebuah lagi lagu berjudul One of A Kind yang dimuat naik pada Jun tahun lalu.

Hadal Ahbek sudah pun tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube Issam Alnajjar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:40 AM