TAMPIL gaya era 70-an dalam muzik video Takhta Dunia.
TAMPIL gaya era 70-an dalam muzik video Takhta Dunia.
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN 2020 meninggalkan banyak kenangan manis kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi beberapa pencapaian dan anugerah yang diperoleh termasuk kejayaan album ManifestaSITI2020.

Antara kejayaan itu adalah Artis Paling Banyak Distrim di platform Spotify dan JOOX, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan Individu Tergempak (Astro Gempak).

Selain itu, dua lagu dari album ManifestaSITI2020 iaitu 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu layak ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35). Terbaharu, muzik video ketujuh dari album itu, Kuasa Cintamu mendapat lebih dua juta tontonan.

Sebagai pembuka tahun baharu, satu lagi muzik video daripada Siti dilancarkan iaitu Takhta Dunia. Lagu dan lirik lagu ini adalah ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.

Siti menyifatkan muzik video Takhta Dunia sebagai pembuka tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat.

Menurut Siti, seiring kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab.

"Sebagai penyanyi, saya bertanggungjawab mengetengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya perlu menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan, tetapi kesedaran," katanya.

Siti yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-42 esok berkata, muzik video terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd itu antara kerja terakhir sebelum berehat untuk memberi fokus kepada persediaan kehamilan ketika itu.

"Saya berbincang dengan pihak Rasa Film untuk tampil menggayakan imej wanita era 70-an bagi memberikan kelainan dalam setiap muzik video yang pernah dihasilkan. Saya menggunakan khidmat pereka, Rizman Ruzaini dan jurusolek, Ahma Dhani bagi imej ini.

"Boleh dikatakan, ini antara kerja terakhir dibuat sebelum saya berehat untuk memberi fokus kepada persediaan kehamilan ketika itu. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan," katanya.

Bersesuaian dengan maksud liriknya, muzik video kali ini digarap istimewa dengan elemen minimalis teater muzikal. Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film menonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.

Sebagai contoh, Azhar menterjemahkan mesej simbolik menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut yang membawa maksud, jasad terperangkap di zaman lampau namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.

BAKAL sambut ulang tahun kelahiran ke-42 esok.
BAKAL sambut ulang tahun kelahiran ke-42 esok.

Muzik video ini berlatarbelakangkan 1970-an di sebuah stesen kereta api yang dinamakan Lipis Sentral. Lokasi penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak kereta api lama.

Bagi mengupas lirik lagu ini, Takhta Dunia sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.

Visual lakonan dalam muzik video kelapan menerusi album ManifestaSITI2020 ini banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalisme, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber dan mencuri.

Muzik video muzik rasmi Takhta Dunia boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula semalam.

Album ManifestaSITI juga boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 3 Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:30 AM