NEON Band muncul dengan single pertama, tidak mahu cipta gimik murahan.
NEON Band muncul dengan single pertama, tidak mahu cipta gimik murahan.
Sudirman Mohd Tahir


Bagi memperkenalkan vokalis baharu Neon Band iaitu Boy, kumpulan ini muncul dengan lagu Aku Budak Boy iaitu 'remake' daripada lagu asal Aku Budak Girl yang dipopularkan oleh bintang TikTok, Suekhaizhar.

Bermakna pembabitan Boy, 33, atau nama sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir melengkapkan 'line ups' baharu Neon Band yang turut dianggotai Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).

Itu cerita tahun lalu. Terbaharu, band pop rock yang kian meningkat ini akhirnya muncul dengan single pertama mereka berjudul Terima Kasih Luka yang mendapat sentuhan Pown Hasril, Karim Karam, Otoman dan Ezra Kong.

Boy berkata, lagu Terima Kasih Luka yang bergenre modern pop rock itu adalah karya yang segar, sekali gus gambaran kepada kemunculan single pertama mereka di tahun baharu ini.

"Lagu yang pertama itu lebih pada gimik nak perkenalkan saya sebagai vokalis baharu kumpulan Neon Band. Jadi, tak anggap ia sebagai satu single. Tapi, lagu ini adalah betul-betul single pertama kami.

"Dari segi genre ia berbeza dengan kebanyakan single Neon Band sebelum ini. Lagi satu, ini juga karya baharu bersempena tahun baharu. Lagu ini sangat segar. Genre ini pun tak banyak dibawakan dalam band sekarang. Ia satu pembaharuan yang bagus," katanya.

Menurut Boy, single Terima Kasih Luka itu juga bakal memberi satu lagi persepsi berbeza peminat Neon Band dan pencinta muzik tanah air.

Ia sekali gus membezakan pembawaan dari segi nyanyian Boy dan vokalis terdahulu.

"Saya pasti Neon Band sudah ada peminat tersendiri begitu juga dengan vokalis sebelum ini yang sudah dikenali. Tapi, disebabkan dalam lagu ini kami membawakan konsep berbeza, jadi saya rasa tarikan itu ada pada lagu dan konsep yang dibawakan.

"Jadi, apabila orang mendengar orang akan cari, apabila orang cari, orang akan tahu. Kalau dengar pun orang akan tahu ini penyanyi berbeza. Ini adalah perkara yang baharu daripada kami," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Boy juga bekas peserta program Suara Viral (SV) yang ditayangkan di saluran Astro Prima dua tahun lalu berkata, Terima Kasih Luka adalah mengenai seorang lelaki yang sering dikhianati cintanya.

NEON Band yang menampilkan vokalis baharu iaitu Boy yakin dengan kelebihan dimiliki.
NEON Band yang menampilkan vokalis baharu iaitu Boy yakin dengan kelebihan dimiliki.

"Lagu ini mengenai terluka yang mana seorang lelaki yang terluka apabila cintanya dikhianati seorang wanita. Si lelaki ini adalah seorang yang setia, tapi dikecewakan.

"Bagi saya lagu ini mengenai lelaki yang sangat kecewa, dikhianati berulang kali, yang mencintai seseorang, tapi tak bahagia. Sampai satu masa dia cuba 'move on' dan sedar perhubungan itu sampai situ saja," katanya.

Dalam pada kebanyakan penyanyi memilih pendekatan gimik sebagai strategi untuk memperkenalkan lagu mereka, tidak bagi Neon Band.

Menurut Boy, mereka percaya pada kualiti sesebuah karya itu akan lebih mudah diterima pendengar, sekali gus kekal bertahan dan bukan bersifat sementara.

"Saya berasakan untuk single terbaharu ini, kami tak suka gimik. Neon Band sendiri tak sukakan gimik, tapi banyak buat kejutan. Sebab biasanya yang selalu kena kejutan adalah kami sendiri. Banyak perkara berlaku secara tiba-tiba.

"Pada saya, jika karya atau lagu itu berkualiti tidak perlukan gimik pun orang akan cari dan dengar. Itu lebih bagus sebenarnya, sekali gus dapat menaikkan lagi nama. Cuma pendekatan digunakan segelintir pihak itu adalah pilihan masing-masing.

"Jadi, untuk lagu ini saya berharap ia diterima baik dan berjaya menambat hati pendengar. Untuk pelancaran lagu ini pada Jumaat ini, dilancarkan serentak dengan muzik video. Semoga ia dapat menambat hati semua," katanya.

Antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band sebelum ini dan berjaya diterima peminat adalah Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa.

Terima Kasih Luka terbitan Nova Music dilancarkan secara rasmi pada 4 Februari lalu dan boleh didengar di semua pelantar striming muzik. Muzik video lagu itu juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:00 AM