ZAHIRIL mohon maaf kepada peminat seandainya lakonannya kurang memuaskan hati.
ZAHIRIL mohon maaf kepada peminat seandainya lakonannya kurang memuaskan hati.
Zaara Talita


Pelakon Zahiril Adzim mengakui menjadi tanggungjawabnya melunaskan apa sahaja tugasan yang diberikan dalam menjayakan sesebuah naskhah dengan sebaik mungkin.

Justeru Zahiril, 38, mohon maaf kepada peminat yang menyaksikan filem bergenre aksi, Siku 12: Langkah Derhaka seandainya lakonannya sebagai jejaka Siam bernama A-wut kurang memuaskan hati.

Menurut pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, International Motivational Film Festival Bridge Of Arts pada 2016 di Russia ini, dia mengakui tidak sempat melakukan persiapan rapi dan jadual penggambaran terlalu singkat dan sudah melakukan yang terbaik dalam menjayakan filem arahan Azhari Zain itu.

"Ikut perancangan asal, produksi ingin menayangkan filem Siku 12 dalam platform Astro First. Namun, perancangan mereka bertukar dan memilih ditayangkan di pawagam tahun ini.

"Begitu pun, saya sudah memberikan lakonan terbaik dalam tempoh singkat ini. Mungkin ada babak ada kekurangan dan perlu diperbaiki, jadi saya kena bersedia berdepan komen penonton.

"Saya percaya penonton zaman sekarang semakin bijak menilai. Saya tiada sebarang masalah dengan syarikat produksi, Power Team Entertainment Sdn Bhd," katanya.

Menurut Zahiril, syarikat produksi cukup telus dan berjanji membayar pelakon mengikut kadar filem, namun apa yang mencetuskan rasa kurang senang memikirkan mutu lakonannya yang ditayangkan di layar lebar bulan lalu.

"Biasanya, jika untuk supertele atau drama, tiada proses praproduksi. Jadi, filem Siku 12 ini tiada proses berkenaan.

"Jika filem, kita akan berbincang, bergaduh dan bertekak untuk menjadikan satu naskhah bagus ketika praproduksi.

"Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan teliti sebelum menandatangani surat perjanjian. Perkara seperti ini perlu dielakkan kerana boleh menjadi senario tidak sihat pada industri seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 6:50 AM