WINGS berjanji tampilkan persembahan bertenaga untuk peminat mereka.
WINGS berjanji tampilkan persembahan bertenaga untuk peminat mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


BARU saja 'mengganas' di Zepp KL minggu lalu menerusi Konsert Naga Kramat, band rock terunggul negara, Wings terus mengembangkan sayap mereka untuk mendekati peminat.

Malam ini, band berusia 37 tahun ini akan berada di Mid Town Perda, Pulau Pinang jam 8 malam bagi menjayakan Konsert Mega Marhaen @Mid Town Perda.

Yang pastinya, penganjuran ini bagi mengotakan janji Datuk Awie (penyanyi), Eddie (bass), Black (dram), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) bagi menghiburkan peminat golongan pertengahan dengan harga mampu milik.

Awie berkata, mereka menyedari banyak terbabit dengan konsert atau persembahan di ibu kota membabitkan harga tinggi yang tidak semua peminat mampu menyaksikannya.

"Saya sering bayangkan dan kata nak anjurkan sebuah konsert untuk golongan ini agar semua dapat menikmati persembahan kami. Sebelum ini Wings selalu main konsert dengan harga tiket yang terlalu tinggi. Bila konsert saja harga tiket bermula dari RM300, RM500 dan RM800. Jadi kami nak pecahkan tradisi sekarang

"Alhamdulillah kerana kami akhirnya tampil dengan konsert Mega Marhaen yang disasarkan kepada peminat di sebelah utara," katanya.

Menurutnya, harga tiket yang ditawarkan bermula dengan RM98 pasti membuatkan peminat mampu memilikinya. Namun, kami juga ada tiket berharga RM180 (biasa) dan RM500 (VVIP). Ia memberi pilihan kepada penonton mengikut kemampuan masing-masing.

"Mereka yang mahu duduk di kerusi bahagian depan pentas, bolehlah mendapatkan tiket VVIP," katanya.

Mengenai pemilihan lokasi pula, Wings akan beraksi di padang yang boleh memuatkan 10,000 penonton.

Selepas dua tahun terkurung tanpa aktiviti akibat pandemik Covid-19, Wings mahu mengembalikan keseronokan menghiburkan peminat di atas padang.

"Konsert ini seperti persembahan di Pesta Pulau Pinang. Kami nak kembalikan trend menonton berdiri di padang. Tidak nampak lagi ada orang buat seperti itu sekarang.

"Semua buat 'indoor' seperti di Zepp Kuala Lumpur, Axiata Arena dan lain-lain. Kami akan mula dengan konsert ini terlebih dulu sebagai mukadimah.

"Selepas itu barulah bersambung tahun depan. Kami akan mulakan aktiviti seni selepas Aidilfitri kerana bermula Disember, Wings akan berehat panjang," katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak berkompromi berkenaan set pentas dan sistem bunyi walaupun mengenakan tiket dengan harga rendah.

"Kami nak bagi betul-betul kepuasan dan sempena 37 tahun Wings, maknanya Wings akan bermula dengan benda yang dilakukan dulu semula apabila buat konsert sebegini.

"Konsert akan berlangsung selama dua jam tanpa henti dengan nyanyian antara 15 sehingga 20 lagu. Peminat pasti akan puas menyaksikannya. Kali terakhir kami di Pulau Pinang adalah semasa menjayaka

n konsert Menakluk Kosmos pada 2013 di Tapak Pesta Seberang Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 6:11 AM