Konsert Wings dapat permintaan hangat
Konsert Wings dapat permintaan hangat

Kuala Lumpur: Penganjur Konsert Wings – Naga Kramat iaitu MW Mega Productions mengingatkan peminat yang hadir menyaksikan konsert terbabit di Zepp KL pada 22 Oktober ini agar menjaga tingkah laku bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Wakil MW Mega, Mashar Mokhtar berkata, memandangkan situasi politik semasa dengan pembubaran parlimen, pihaknya sebagai penganjur perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

"Konsert ini tetap akan diteruskan, lagipun ia akan berlangsung dalam jangka masa yang sangat hampir iaitu Sabtu ini.

"Pesan saya kepada penonton yang hadir nanti adalah untuk berhibur dan bukan berpolitik. Elakkan ada sentimen politik dalam konsert ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mashar turut memaklumkan, pihaknya juga memenuhi permintaan peminat yang mahukan bilangan tempat duduk ditambah.

"Atas permintaan tinggi bagi tiket kategori tempat duduk, kami mengambil inisiatif untuk merealisasikan kehendak peminat.

"Antara harga tiket yang ditawarkan ialah untuk kategori Bazooka Penaka (VIP - terhad) dan bagi kategori tempat duduk Opera Hidup. Kedua-dua kategori ini adalah berhampiran dengan pentas.

"Selain itu, MW Mega Productions juga memperkenalkan satu harga baru khas untuk pelajar IPTA/IPTS dan golongan kurang upaya bagi tiket kategori berdiri di zon 'Bujang Senang'.

"Ia dibuat kerana ada permintaan dari kalangan pelajar. Pihak MW Mega Production mengambil kira pandangan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli harga tiket yang tersenarai sebelum ini.

"Jadi harga yang ditawarkan ini sangat berbaloi untuk menyaksikan persembahan dari legenda rock terunggul Malaysia," katanya.

Menerusi cara ini, mereka hanya perlu menunjukkan bukti kad pelajar semasa membuat tempahan atau belian dan pembelian tiket ini hanya sah melalui ejen Sayap-Sayap Wings.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 2:24 PM