Zaara Talita


Kuala Lumpur: Tiket Konsert Wings yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, di sini, pada 15 Julai ini habis dijual dalam tempoh 15 minit selepas dilancarkan jam 10 pagi, hari ini.

Penganjur konsert, Shirazadeen Karim dari Shiraz Projects Sdn Bhd berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka tiket habis terjual dalam tempoh singkat selain teruja dengan sokongan dan semangat peminat muzik tanah air terhadap konsert-konsert tempatan.

"Saya tidak sangka ia akan habis dijual dalam masa 15 minit saja. Ini menunjukkan industri muzik sedang berkembang sihat. Kita juga sedia maklum bahawa sokongan kelab peminat rasmi, Sayap-Sayap Wings sentiasa padu terhadap Wings.

"Saya sangat berterima kasih atas sokongan peminat Wings yang sentiasa menyokong perjalanan muzik dan konsert-konsert Wings. Kami juga bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Wings yang juga kumpulan rock legenda tanah air," katanya.

Dalam masa yang sama, Shiraz turut memuji kerjasama dan komitmen diberikan Wings yang dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) dalam merealisasikan konsert mereka.

"Komitmen mereka terhadap promosi dan perjalanan konsert ini juga sangat baik. Kami berharap dapat bekerjasama lagi dengan Wings serta penyanyi-penyanyi tempatan untuk menghasilkan persembahan yang terbaik dan diingati peminat-peminat. Nantikan satu pengumuman daripada kami dan Wings dalam masa terdekat ini," katanya.

Shiraz berkata, faktor pemilihan lagu-lagu adalah mencabar untuk menjadikan senarai dalam persembahan DFP dan pastinya Wings akan tampil dengan sebuah persembahan yang bakal menjadi kenangan bersejarah lagi buat peminat mereka.

Tiket konsert berkenaan dijual dengan harga RM650 (meet and greet), RM375 (Diamond) dan RM250 (platinum).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 1:34 PM