TIMBUL persoalan apabila Azira jarang bawa teman lelaki ke acara hiburan.
TIMBUL persoalan apabila Azira jarang bawa teman lelaki ke acara hiburan.
HM Digital

Selepas lima tahun bercinta dengan jejaka dikenali sebagai Yasser Khan, penyanyi dan pelakon Azira Shafinaz Ramlan mengakui mereka belum menetapkan tarikh pernikahan.

Azira, 27, berkata, dia dan kekasihnya menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah SWT.

Malah, Azira berkata, kekasihnya tidak pernah memaksa untuk berkahwin segera sebaliknya ingin dia berjaya dalam karier diceburi terlebih dahulu.

“Perancangan untuk berkahwin memang ada tetapi memandangkan masing-masing sibuk dengan komitmen kerja, kami ambil keputusan untuk tidak terlalu fokus soal ini.

“Dia pun tidak mahu paksa saya. Dia selalu cakap, kalau ada jodoh tidak ke mana. Kalau boleh dia mahu saya fokus dan berjaya dalam bidang diceburi ini.

Alhamdulillah, sekarang saya dapat banyak tawaran berlakon dan mengacara. Jadi saya fokus kerjaya dahulu.

“Namun, saya tetap akan berkahwin hujung tahun, tapi tidak tahu bila. Saya dan kekasih hanya mengikut aturan ditetapkan. Doakan saja yang terbaik untuk kami,” katanya.

Azira yang juga anggota kumpulan De Fam berkata, sepanjang bercinta dia tidak pernah menyembunyikan identiti kekasihnya.

Sama seperti orang lain, Azira ada sesekali memuat naik gambar bersama di laman Instagram. Namun, perkara itu masih disimpan sebagai privasi dirinya.

“Orang selalu tanya kenapa saya jarang bawa kekasih ke acara hiburan. Bukan tidak mahu tetapi dia yang menolak. Cuma, kalau ada yang perasan saya ada juga memuat naik gambar di Instagram dan berkongsi video di IG Story, namun, tidak selalu.

“Dalam perhubungan ini kita tidak tahu dalam apa akan terjadi. Semua takdir dan ketentuan Allah. Jadi, saya tak nak nanti kalau terlalu menunjuk dan bila jadi apa-apa orang akan sibuk bertanya pula. Sebab itu, saya simpan sedikit untuk privasi diri,” katanya.

Pada masa sama, Azira menafikan dia sengaja berbuat sedemikian kerana tidak mahu saham jatuh dan populariti merudum.

“Diakui pernah juga orang cakap perkara ini. Sebenarnya, tidak sama sekali. Sebaliknya, ramai rakan artis dan orang sekeliling tahu mengenai hubungan kami. Cuma, dia memang jenis merendah diri,” katanya.

Ditanya adakah dia akan bertunang dahulu sebelum berkahwin, Azira belum dapat memastikan perkara itu.

“Kalau boleh nak terus nikah, tetapi mak saya pula nak ikut adat. Jadi, perancangan itu belum pasti,” katanya.

Seronok mengacara

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Azira kini mengacarakan program Pop TV di TV9 menggantikan Nana Mahazan.

“Alhamdulillah, rakan pengacara saya, Syuk banyak membantu. Pada mulanya gementar juga. Selepas episod pertama saya fikir masih banyak boleh diperbaiki.

“Pada masa sama, saya kena peka dengan banyak perkara. Saya kena tahu apa nak ditanya kepada artis jemputan. Jadi ia cabaran untuk saya yang perlu belajar mengenai mereka,” katanya.

Mengenai De Fam, Azira ada berita gembira apabila mereka bakal muncul dengan single keempat tidak lama lagi.

Ia sekali gus menafikan cakap-cakap orang mengatakan De Fam sudah berkubur.

“Ini soalan popular dan sering ditanya umum. Kami masih bersama. Memandangkan saya sudah menceburi bidang lakonan, jadi jadual kerja agak sibuk.

“Buat masa sekarang, kami dalam proses menghasilkan single terbaru. Insya-Allah selepas sambutan Aidilfitri. Kalau nak tahu, kami tidak pernah terfikir pun nak berpecah.

“Namun, kami pernah bincang kalau Manggis ada anak atau sesiapa antara kami terbabit dalam bidang lain, tidak mengapa. De Fam tetap ada,” katanya.

Bagaimanapun, Azira tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak jika ramai beranggapan sedemikian.

“Sekarang, Manggis pun sudah berlakon. Sofea pula kalau tak menyanyi dia ada perniagaan. Malah perkara ini kami kongsikan di laman sosial masing-masing. Disebabkan itu timbul persepsi sebegitu.

“Saya tidak salahkan orang kerana lagu kami lambat keluar. Jadi kena tunggu,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 6:54 AM