AWIE bangga galas peranan Duta Anti Scam PDRM.
AWIE bangga galas peranan Duta Anti Scam PDRM.
Norhayati Nordin


Pembabitan selebriti dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) amat digalakkan.

Tambahan lagi, pada ketika ini begitu banyak kegiatan 'scammer' berlaku yang menyasarkan warga emas.

Mengambil kira peranan selebriti yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, secara tidak langsung diyakini dapat membantu menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap 'scammer'.

Terdahulu, seramai 104 individu dalam kalangan selebriti, atlet dan pempengaruh media sosial popular dipilih menerima pelantikan sebagai Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.

Salah seorang selebriti yang begitu menarik perhatian ialah Datuk Awie. Ia berikutan, bagi memerangi kegiatan 'scammer' yang berleluasa ini, difahamkan beliau sanggup melakukan ekspedisi bermotosikal bersama pasukannya mengelilingi Semenanjung pada awal September lalu.

Awie berkata, berasa terpanggil melakukan ekspedisi bermotosikal itu kerana mahu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan tindakan licik 'scammer' tidak bertanggungjawab ini.

"Apabila membaca laporan media mengenai kegiatan tidak bermoral 'scammer' ini, saya marah juga. Apatah lagi kebanyakan mangsa itu adalah warga emas yang juga pesara kerajaan. Malah jumlah duit yang dilesapkan pula bukan sedikit.

AWIE diberi kepercayaan besar salur maklumat jenayah ‘scam’ kepada orang ramai.
AWIE diberi kepercayaan besar salur maklumat jenayah ‘scam’ kepada orang ramai.

"Ada mangsa kena puluhan ribu ringgit hilang sekelip mata. Begitu juga sampai mencecah ratusan ribu ringgit yang hilang pun ada. Jadi, saya amat bersimpati dan modus operandi 'scammer' ini pula ada bermacam-macam. Mereka bijak menakutkan orang dengan pelbagai helah," katanya.

Menurut penyanyi Wings ini, memahami peranan yang digalasnya sebagai Duta Anti Scam tidak mudah, beliau tetap berbangga kerana sudah diberi kepercayaan besar itu bagi menyalurkan maklumat berhubung jenayah 'scam' kepada orang ramai.

"Saya tahu ini bukan tugas yang mudah dan bukan sijil perlantikan itu yang dikejarkan. Bagi saya, apa yang paling utama adalah peranan membendung atau paling tidak pun dapat mengurangkan jenayah penipuan ini berlaku dalam masyarakat.

"Dulu musuh utama kita adalah dadah, tetapi sekarang 'scammer' yang membabitkan ramai golongan muda. Siapa mereka (scammer) ini, kita pun tak kenal. Pada era teknologi masa kini, kadang-kadang kekasih sendiri pun sebenarnya 'scammer' sebab kenal menerusi aplikasi media sosial.

"Jadi, saya amat berharap kempen 'anti scam' yang dilancarkan PDRM ini dapat membuka mata orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan 'scammer' yang licik dan tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Menurut Awie, beliau juga pernah beberapa kali hampir menjadi mangsa 'scammer' yang menghubunginya.

Bagaimanapun katanya, ilmu pengetahuan yang ada mengenai modus operandi mereka (scammer) membuatkannya dapat menangkis helah digunakan.

Selain Awie, barisan selebriti lain yang dipilih sebagai Duta Anti Scam PDRM ialah Hazama, Datuk Hattan, Aedy Ashraf, Sara Ali, Diana Danielle, Pablo Amirul, Khai Bahar dan ramai lagi daripada pelbagai kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 6:20 AM