Datuk Adi Putra pada majlis pra tonton dan sidang media filem Air Force The Movie Selagi Bernyawa di GSC Mid Valley.FOTO Rohanis Shukri
Datuk Adi Putra pada majlis pra tonton dan sidang media filem Air Force The Movie Selagi Bernyawa di GSC Mid Valley.FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon terkenal Datuk Adi Putra menyifatkan cabaran terbesar membintangi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa adalah ketika menyarungkan pakaian seragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Adi, 41, berkata, uniform itu adalah amanah besar buat dirinya biarpun hanya dipakai bagi menjayakan watak Lejen atau Mejar Adnan. 

"Cabaran terbesar adalah selain lakonan saya menyarung seragam TUDM. Bagi saya bukan mudah nak menyarung uniform ini kerana baju TUDM adalah satu amanah dan seragam besar selain lambang benteng negara.  

"Bagi saya itu sangat mencabar, kerana sebagai pelakon bukan saja nak tumpukan dari segi lakonan, tapi bagaimana nak meyakinkan kita adalah salah seorang pegawai TUDM," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Adi, sebelum penggambaran filem itu, dia perlu menjalani latihan insentif yang ketat hingga mengalami kecederaan. 

"Bagi saya tidak ada yang mudah. Latihan sangat susah, keletihan, keringat dan membawa senjata pun ada berat. Cedera itu biasa apabila kita membabitkan diri dalam filem aksi. Bagi saya ia tetap satu penghormatan besar. 

"Latihan insentif yang diberikan adalah sebelum bermula penggambaran ada latihan di Jugra, Banting, Selangor yang mana mendidik dan mengajar kita bagaimana seorang rekrut. Apakah prosedur operasi standard (SOP), pantang larang, perkara boleh dilakukan dan tak. Jadi itulah  yang harus diterapkan. Sebab ia imej kerana apabila kita membawakan watak pegawai di TUDM, imej itu harus ada persamaan di luar, meyakinkan mata dan mata hati tak sama. Tapi Itulah yang mencabar," katanya. 

Dalam masa sama, besar harapan Adi untuk menyaksikan filem itu mendapat sambutan baik sama seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. 

"Sampai bila lagi kalau kita tak ada harapan besar untuk filem kita, filem tempatan kita, untuk kutipan baik kerana kita ada kualitinya, bukan tak ada. Jadi, mudah-mudahan juga filem ini dapat kutipan yang baik, sokongan yang baik, hati terbuka oleh semua masyarakat dan mudah-mudahan juga daripada anak-anak menyukai seragam TUDM atau ATM keseluruhannya," katanya. 

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 25 Ogos ini diterbitkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media. 

Ia diarahkan oleh Zulkarnain Azhar yang sebelum ini pernah mengarahkan filem J Revolusi (2017) dan Frank See yang pernah menulis skrip filem PASKAL (2018). 

Selain Adi, filem ini turut dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Scha Alyahya, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As'ari, Pablo Amirul, Jack Tan, Sara Ali dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:36 PM