UPIAK dapat perhatian besar ketika datang ke Kuala Lumpur minggu lalu.
UPIAK dapat perhatian besar ketika datang ke Kuala Lumpur minggu lalu.
Hartati Hassan Basri

[email protected].

Lagu yang sama tapi membawa tuah kepada dua penyanyi. Seorang artis baru yang muncul dengan satu lagu dan seorang lagi sudah lama menyanyi di kampungnya tetapi kerana lagu ini, dia cukup dikenali.

Itulah tuah Andi Bernadee, 25, dan Upiak Isil, 32, yang tiba-tiba menjadi sebutan kerana Tak Tun Tuang. Bukan hanya di Malaysia dan Indonesia malah sampai ke Thailand.

Itulah kuasa tular dalam media sosial. Ikutkan, Andi artis baru dari Sabah yang dicungkil bakatnya daripada aplikasi SMULE dan pernah tampil dengan single Tiada Lagi Maaf.

Lepas setahun, namanya masih kurang dikenali tetapi kerana Tak Tun Tuang, tiba-tiba nama Andi jadi sebutan.

Begitu juga dengan Upiak dari Sumatera, Indonesia, sudah menghasilkan 19 album yang setiap satu ada lapan hingga 10 lagu tetapi yang satu ini benar-benar membawa kejayaan besar kepadanya.

Upiak, yang nama sebenarnya Silvia Nanda, mula menyanyi ketika berusia 13 tahun dan Tak Tun Tuang yang bermaksud bunyi pukulan gendang, adalah nukilan Upiak sendiri (lirik) manakala melodi oleh kawannya, Ardi Tanjung.

Ia dihasilkan pada 2014 untuk album ke-14 Upiak tetapi baru kini Tak Tun Tuang dikenali di Malaysia hingga ramai yang membuat saduran dan parodi termasuk Andi yang terus popular.

Ramai juga penyanyi popular memilih lagu ini sebagai saduran dan parodi hingga tiba-tiba demam Tak Tun Tuang melanda seterusnya membawa Upiak bertandang ke Kuala Lumpur minggu lalu.

Selama di sini, perhatian diberikan kepada Upiak sungguh luar biasa dengan liputan sangat besar bukan hanya media cetak malah media elektronik. Upiak diundang menjadi tetamu program televisyen dan radio. Upiak juga meneruskan jelajahnya hingga ke Thailand. Itulah tuah Tak Tun Tuang.

Kita lihat sampai bila Andi dan Upiak terus mengekalkan keberadaannya dalam dunia seni kerana kuasa tular ini hanya seketika.

Upiak berkemungkinan besar terus menghasilkan album manakala Andi perlu membuktikan kehebatannya untuk terus dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:58 AM