Sazali P.Ramlee anak kedua kepada Allahyarham P.Ramlee bersama isteri, Hamidah Hitan yang menerima skim bantuan unit rumah pada Majlis Ramah Mesra Penaung Skim Rumahku Syurgaku bersama artis dan media di Wisma Dygnersys. FOTO GENES GULITAH
Sazali P.Ramlee anak kedua kepada Allahyarham P.Ramlee bersama isteri, Hamidah Hitan yang menerima skim bantuan unit rumah pada Majlis Ramah Mesra Penaung Skim Rumahku Syurgaku bersama artis dan media di Wisma Dygnersys. FOTO GENES GULITAH
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali belum mempunyai hala tuju hidup selepas bayaran wang royalti bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) akan tamat tempoh tahun depan.

Sazali, 63, berkata, agak sukar untuknya mengulas apabila ditanya oleh mana-mana pihak berkenaan perkara ini.

"Sebelum ini pun saya pernah tanya kenapa royalti kurang dan mereka beritahu penularan Covid-19 menjadi punca kutipan merosot.

"Jadi saya terpaksa sabar dengan apa yang berlaku. Tahun depan juga tahun terakhir saya dapat wang royalti peninggalan arwah bapa. Sekarang saya sedang fikirkan untuk menyara hidup, sama ada saya kena bekerja semula atau sebaliknya," katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Penaung Skim Rumahku Syurgaku Bersama Artis & Media di Setia Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, dia perlu melihat pada semua situasi kehidupannya terutamanya perubatan.

"Bila ia berlaku nanti (tamat royalti), saya dan isteri (Hamidah Hitam) kena berbincang. Kesihatan kami berdua tidak berapa baik.

"Kami sekarang kerap ke hospital untuk bertemu doktor dan setiap kali ke hospital perlu guna wang untuk pengangkutan.

"Saya pernah kemalangan pada 2015. Sejak jatuh, tulang bahagian siku dan lutut dah rapuh dan tak dapat bekerja lagi. Saya kena buat rawatan fisioterapi kaki yang cedera akibat kemalangan," katanya.

Sazali berkata, mereka kini menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Sazali memuji usaha yang digerakkan oleh MRF Consultant (M) Sdn Bhd untuk membantu penggiat seni memiliki rumah sendiri.

Menerusi Noraniza Idris yang dilantik sebagai Pemegang Amanah, mereka yang layak dan menepati kriteria akan berpeluang mempunyai rumah sendiri yang bernilai di bawah RM500,000.

"Saya gembira diundang oleh Noraniza dan suaminya, Jeffri Iman ke majlis ini. Saya menyokong program Rumahku Syurgaku yang bertujuan membantu rakan-rakan lain.

"Namun untuk saya memohon rumah ini, saya kena pertimbangkan lanjut kerana saya dan isteri tidak bekerja, jadi macam mana nak bayar. Sekiranya mereka nak menaja terpulanglah kepada mereka. Sekarang kami tinggal di rumah sendiri di Semenyih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 4:15 PM