Muhammed Abdullah ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Artis yang diadakan di pejabat MRF Consultant (M) Sdn Bhd di Wisma Dygnersys. FOTO GENES GULITAH
Muhammed Abdullah ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Artis yang diadakan di pejabat MRF Consultant (M) Sdn Bhd di Wisma Dygnersys. FOTO GENES GULITAH
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah menafikan pembabitannya sebagai Penaung program Rumahku Syurgaku anjuran syarikat perumahan MRF Consultant (M) Sdn Bhd.

Setiausaha Sulitnya, Raja Ahmad Faisal Tengku Ibrahim berkata, pihaknya dukacita dasar 'Pintu Terbuka' yang diamalkan iaitu menerima dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang sudah menimbulkan tanggapan negatif umum.

"Kami memandang serius sebarang salah guna hubungan baik oleh mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha membina masyarakat dan negara yang makmur sejahtera.

"Kami menegaskan bahawa ia tidak terbabit secara langsung mahupun tidak langsung terkait laporan dan penyiaran gambar oleh akhbar dan beberapa portal tempatan," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, pihak Balai Undang Luak Johol juga akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang mencemarkan nama baik mereka dengan penyiaran semula isu semasa atau mana-mana bahagian darinya tanpa disokong atau rujukan kepada mereka terlebih dahulu.

Turut disertakan bersama kenyataan ini ialah laporan polis yang dibuat Muhammed bagi membersihkan namanya.

Muhammed berkata, beliau dijemput ke majlis terbabit sebagai tetamu kenamaan, bukan sebagai penaung kepada syarikat itu.

Kehadirannya juga bagi memenuhi jemputan kenalannya. Bagaimanapun namanya diletakkan sebagai Penaung pada kain pemidang program itu sehingga menimbulkan tanggapan buruk pelbagai pihak terhadapnya.

Terdahulu pada 2 Ogos lalu, Muhammed hadir pada program Majlis Ramah Mesra Bersama Artis yang diadakan di pejabat MRF Consultant (M) Sdn Bhd.

Ia turut dihadiri oleh penyanyi Noraniza Idris yang diperkenalkan sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta sebagai Pemegang Amanah bagi menyelaras 1,000 unit kuota Rumahku Syurgaku yang dilancarkan pada 7 Jun lalu kepada penggiat seni.

Seramai 100 artis tanah air turut hadir pada majlis ini.

Bagaimanapun, Noraniza menerusi sidang media kelmarin memaklumkan ikatannya sebagai duta ditamatkan pada 27 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:52 PM