Noraniza Idris
Noraniza Idris
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi popular irama Malaysia, Noraniza Idris menafikan tuduhan bersekongkol dengan pemaju projek Rumahku Syurgaku (RKSK) membabitkan hampir 200 penggiat seni anjuran syarikat pemaju MRF Consultant (M) Sdn Bhd.

   Noraniza, 54,  berkata, dia tidak dilantik secara rasmi sebagai duta projek kerana tidak mempunyai sebarang perjanjian hitam putih dengan syarikat terbabit.

   "Hubungan kami terjalin sejak Ramadan lalu pada satu majlis berbuka puasa. Saya diperkenalkan oleh rakan kongsi dari NIPV Management Sdn Bhd dengan individu yang mempelawa saya menjadi duta program kebajikan.

  "Saya terbuka hati menerima tawaran ini secara lisan memandangkan saya terbabit aktif dengan kerja-kerja kebajikan.

   "Saya nak bantu rakan-rakan artis veteran yang susah, tiada kerja dan tiada rumah," katanya pada sidang media tergempar di sebuah hotel malam ini.

   Selepas isu ini timbul, Noraniza berusaha mendapatkan penjelasan sebenar daripada individu bergelar Pengarah Urusan syarikat perumahan ini.

   "Saya sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Selepas isu ini tular, saya berusaha mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak pemaju itu.

   "Ia menyebabkan saya 'digugurkan' daripada 'perjanjian' terbabit pada 27 Ogos lalu," katanya. 

   Tambahnya lagi, dia turut mengingatkan selebriti yang berminat dengan projek terbabit supaya mendapatkan maklumat terperinci skim itu supaya tidak ada perkara berbangkit di kemudian hari.

   "Saya turut berpesan kepada mereka supaya tidak membayar melebihi RM10 kerana wang ini akan disalurkan ke akaun peribadi pihak terbabit.

   "Jika bayar lebih itu adalah keputusan mereka sendiri kerana saya tidak bertanggungjawab. 

   "Lagipun saya tidak mengetuai projek itu sebaliknya hanyalah pemudah cara kepada rakan-rakan artis," katanya.

  Noraniza ditampilkan sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta Pemegang Amanah menerusi skim yang disebut khidmat sosial amal jariah membantu ummah syarikat terbabit.  

   Terdahulu penggiat seni hanya perlu membayar RM10 untuk urusan penyerahan unit kediaman dengan harga terbabit. 

   Namun, jika mereka ingin mendapatkan rumah berharga RM1 juta, mereka hanya perlu membayar RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:59 PM