NOKI mahu terus bantu keluarga.
NOKI mahu terus bantu keluarga.
Sudirman Mohd Tahir

Mula dikenali sebagai rapper dan penyanyi kumpulan K-Clique, nama Noki kini kian menjadi sebutan dalam dunia lakonan. Selepas muncul dalam drama sulungnya, Oh My Hantaran yang ditayangkan di TV9 tahun lalu, ramai penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan terhadap bakat dimiliki.

Bagi Noki, 28, atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT dan berharap akan terus merendah diri walaupun namanya kian popular dan menjadi sebutan ramai.

"Alhamdulillah, Allah bagi rezeki seadil-adilnya. Bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk rakan lain dalam K-Clique. MK pun makin selesa dengan apa yang dia buat. Untuk saya, memang tak dijangka berada pada tahap sekarang sampai pernah menang Anugerah Juara Lagu (AJL) dan dapat bertanding di pentas berprestij itu sebanyak dua kali.

"Bagaimanapun, tak mustahil apa yang kita dapat sekarang bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semula. Hidup ini umpama roda dan kita tak semestinya akan selalu di atas dan begitu juga sebaliknya.

"Apa pun yang dibuat sekarang, saya berharap terus merendah diri bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga tersayang di Sabah," katanya.

Menurut Noki yang muncul menerusi lagu Gila bersama Kaka Azraff dan Loca B, dia bukan datang daripada keluarga yang senang.

"Saya nak senangkan keluarga. Saya menyasarkan nak belikan mereka rumah. Belum tercapai lagi, insya-Allah dalam perjalanan ke arah itu. Dalam keluarga, saya antara yang berkemampuan untuk membantu mereka walaupun saya anak bongsu.

NOKI bersyukur dengan rezeki dimiliki dalam kerjaya.
NOKI bersyukur dengan rezeki dimiliki dalam kerjaya.

"Saya tak kisah tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, kerja keras dan susah macam mana sekalipun, tidak mengapa asalkan dapat beri kesenangan kepada keluarga. Kadang-kadang rasa 'sesak', tapi tak semua orang tahu. Mungkin itu sebab kenapa Tuhan pilih saya nak bantu keluarga dari hidup yang tak berapa senang. Allah nak saya bantu keluarga sebab saya diberi rezeki yang lebih dari masa ke masa," katanya.

Ditanya mengenai soal peribadi, Noki mengakui dirinya masih tidak mempunyai teman wanita.

Bagi Noki, bukan terlalu memilih atau belum terfikir untuk ke arah yang lebih serius dalam kehidupan iaitu perkahwinan, sebaliknya pada usia masih muda itu dia mahu menstabilkan kewangan sendiri sebelum berganjak ke fasa seterusnya.

"Keluarga di Sabah pun sudah bertanya bila nak kahwin apa semua. Tapi, saya bukan cakap tak nak kahwin. Saya tunggu nak stabilkan ekonomi diri dan pada masa sama tunggu jodoh sesuai.

"Sekarang ini teman wanita pun saya tiada. Kalau ada mesti orang dah nampak saya dengan siapa sekarang. Saya tak mahu tergesa-gesa dalam soal jodoh. Saya pun sedar yang diri pun tak betul sangat sekarang. Jadi, kita perbetulkan diri dahulu.

"Tapi, kalau tanya mengenai wanita idaman, saya dambakan seorang yang berpurdah. Kalau boleh yang tahu banyak mengenai agama, aurat apa dan tak perlu pun saya ajar. Namun, kalau saya nak 'demand' begitu dalam keadaan saya pun tak sempurna, saya kena sedar diri juga dan perlu terus memperbaiki diri menjadi orang yang lebih positif setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:30 AM