Pelakon, Noki K-Clique. Foto Rohanis Shukri
Pelakon, Noki K-Clique. Foto Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon juga anggota K-Clique, Noki mendedahkan dia pernah mengikuti kumpulan Tabligh selama dua tahun di Sabah sebelum akhirnya memilih membina karier dalam industri hiburan.

Noki, 29, berkata, ketika bersama kumpulan Tabligh dulu, dia setiap bulan akan keluar selama tiga hari untuk tujuan berdakwah atau 'tashkil' di masjid seluruh Sabah walaupun ada tempat didatangi itu tiada bekalan air dan elektrik.

"Saya pernah menyertai kumpulan Tabligh selama dua tahun ketika menetap di Sabah dan setiap bulan selama tiga hari, saya akan keluar belajar (berdakwah) di seluruh kawasan dalam Sabah.

"Saya selalu berdoa pada Allah minta apa yang diinginkan dan Alhamdulillah, memang semua dapat. Nak 'bebas' Allah bagi, nak rasa ada duit, nak rasa itu dan ini, semua ada dapat, Allah makbulkan.

"Tapi, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik dulu, ia kembali membawa saya untuk mengubah semula diri ke arah lebih baik dengan berbalik ke jalan Allah," katanya kepada Harian Metro.

Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata, dia pernah berasa kecewa dengan dirinya sebelum ini apabila memikirkan Allah sudah pun memberi semua keinginannya, namun dia pula tidak membalas dengan menjadi hamba yang baik.

"Dalam hati saya terdetik, Allah dah beri semua yang diinginkan, tapi kenapa saya tidak membalas kebaikan itu. Jadi, sekarang saya cuba mengimbangi kehidupan untuk dunia dan akhirat dengan sebaiknya semula.

"Alhamdulillah, sekarang sudah semakin baik, bukan hanya kita perlu menjaga solat tetapi cara kehidupan harian yang lebih mempraktikkan ajaran Islam dipelajari dulu," katanya merancang berkahwin pada tahun depan.

Ditanya mengenai kriteria wanita berpurdah diinginkan sebagai teman hidup, Noki berkata impian itu masih ada, namun semuanya tetap bergantung pada ketentuan jodoh juga.

"Semestinya, saya masih impikan dapat berjodoh dengan wanita berpurdah kerana apabila bangun pagi dapat melihat senyum yang manis, tapi semoga ia (jodoh) dipermudahkan.

"Saya memang nak kahwin. Apabila tengok kebanyakan kawan rapat, termasuk anggota K-Clique pun ramai dah kahwin dan berkeluarga, saya ingin seperti mereka menikmati bahagia itu," katanya.

Mengakui kini dalam proses mengenali seorang wanita, Noki berkata, dia berharap harapan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan menjadi kenyataan kerana usia sudah 30 tahun.

Baru-baru ini, Noki ditemui media ketika hadir pada pra tonton filem War on Teror: KL Anarki yang menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 23 November ini terbitan bersama Multimedia Entertainment.

Melakonkan watak Zack iaitu seorang anggota polis, Noki berkata, dia gembira kerana dapat berdialog dalam loghat Sabah yang diakui memudahkannya memainkan peranan dibawa sebaik mungkin.

Filem arahan Kroll Azry dan Frank See itu turut membariskan pelakon lain seperti Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Qi Razali, Daiyan Trisha, Naque Ariffin, Wan Hanafi Su, Kahoe Hon dan Daniel Ga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 1:05 PM