Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Kalau nak tahu cerita sebenar boleh tanya pada Tuju sendiri. Saya tak tahu nak cakap apa," kata penyanyi yang juga anggota kumpulan hip hop popular, K-Clique, Noki mengenai spekulasi kumpulan itu bergaduh dengan salah seorang anggotanya, Tuju. 

Noki berkata, dia secara peribadi sudah lama tidak berkomunikasi dengan Tuju dan percaya penyanyi itu mempunyai alasan tersendiri apabila memilih untuk menjauhkan diri. 

"Persahabatan anggota K-Clique ini sudah terbina sejak kecil, jadi apabila terjadi perkara sebegini kita beri dia masa dulu. Mungkin dia pun tengah tertekan memandangkan  dia ada anak, isteri dan banyak tanggungan.

"Jadi, kami fikir jalan terbaik adalah beri dia ruang dahulu dan saya percaya dia akan cari kami semula. Jujurnya sudah hampir empat bulan saya tidak berkomunikasi dengannya,"katanya. 

Menurut Noki, dia tidak mampu menipu diri apabila terasa hati dengan sikap penyanyi itu yang bertindak sedemikian.

"Memang agak terasa sebab orang di sekeliling kami pun selalu bertanya kenapa Tuju tidak bersama kami dan buat persembahan tanpa ketiadaannya. Malah, pertanyaan itu turut dibangkitkan oleh pihak penganjur yang mahu kesemua anggota K-Clique terbabit. 

"Jadi, sedikit sebanyak apa yang berlaku ini memberi kesan kepada kami, tapi orang cakap benda pun dah jadi.  Apa yang mampu kami buat sekarang adalah bersabar dan tunggu apa yang bakal terjadi," katanya. 

Terdahulu ketiadaan Tuju dalam persembahan pada Konsert Havoc Midnight di Shah Alam yang berlangsung September lalu mengundang pelbagai reaksi sehingga dikatakan wujud perselisihan faham antara mereka. 

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh salah seorang anggotanya iaitu MK yang mengatakan Tuju tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen bersama keluarga. 

Selain Noki,Tuju dan MK, K-Clique turut dibarisi Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas. 

Kesemua mereka yang popular menerusi lagu Mimpi itu adalah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 7:34 PM