Md Nasir (tengah) memberi sumbangan kepada Wahid Satay (kiri) dan Zaiton Abdullah. FOTO Ihsan Finas
Md Nasir (tengah) memberi sumbangan kepada Wahid Satay (kiri) dan Zaiton Abdullah. FOTO Ihsan Finas

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim menyantuni seniman dan seniwati veteran, Wahid Satay dan Zaiton Abdullah di Eunos Crescent, Singapura, semalam.

Finas dalam satu perkongsian di Instagram berkata, lawatan yang diadakan adalah satu penghargaan daripada pihak kerajaan atas sumbangan mereka sebagai nadi penggerak industri perfileman dahulu yang diwarisi generasi pembikin hari ini.

"Sebagai sebahagian daripada sejarah kegemilangan era filem Melayu klasik tahun 50an hingga 60an, Wahid Satay terkenal dengan filem-filem terbitan studio Cathay Keris seperti Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960) dan Badang (1962) manakala Zaiton mencipta impak lakonan dalam filem terbitan Malay Film Productions (MFP) termasuklah Hang Tuah (1955), Anakku Sazali (1956), Bujang Lapok (1957) dan Ibu Mertuaku (1962).

"Program Ziarah Prihatin Finas ini sejajar dengan usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Finas mewujudkan Dana Khas Dokumentari Bintang Nostalgia di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menghasilkan siri dokumentari yang menampilkan barisan seniman dan seniwati filem Melayu klasik yang terbabit di era 1950an hingga 1970an," tulisnya.

Pada sesi pertemuan itu, Nasir turut mengadakan lawatan rasmi ke lokasi bersejarah studio Malay Film Productions (MFP) milik Shaw Brothers ataupun dikenali sebagai Studio Jalan Ampas yang pernah memayungi penerbitan lebih 200 buah filem dari tahun 1937 sehingga penutupannya pada 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 1:09 PM